ALOR SETAR 26 Sept. - CEKAL, tegas, bersemangat dan suka bergurau.
Itu penulis dapat simpulkan mengenai gambaran sifat Allahyarham Tan Sri
Azizan Abdul Razak sepanjang lebih lima tahun mengenali beliau yang
menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.05 pagi ini di Hospital
Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada usia 69 tahun akibat kegagalan
fungsi organ dalaman dan jangkitan kuman dalam darah.
Allahyarham mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan
pada 9 Mac 2008 selepas pakatan pembangkang yang dipimpinnya menang
dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
Azizan mencipta sejarah sebagai pemimpin pembangkang pertama memecah
dominasi Barisan Nasional (BN) di negeri itu dan diangkat sebagai
ketua pentadbir negeri setelah 11 kali pilihan raya umum diadakan.
Penulis berpeluang mengikuti kepimpinan Allahyarham dengan secara
dekat bermula ketika beliau melancarkan manifesto Pas Kedah bagi
PRU-12 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar pada Februari 2008.
Kali terakhir penulis bertemu dengan Allahyarham ialah semasa hari
penamaan calon PRU-13 lalu di Dewan Datuk Madi, Jerai pada 20 April
lepas.
Dalam pertemuan itu, kami sempat berbual serba sedikit mengenai
situasi politik khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai
Limau yang disandang Allahyarham sejak 1995.
Allahyarham mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kelima
pada PRU-13 apabila menang dengan majoriti 2,774 undi tetapi terpaksa
menyerahkan jawatan Menteri Besar berikutan kegagalan pakatan
pembangkang mengekalkan penguasaannya di Kedah.
Sebagai seorang pemimpin yang sudah lali dengan sepak terajang dalam dunia politik, Allahyarham disifatkan sebagai tokoh pembangkang yang cekal kerana mampu bertahan dalam tempoh lima tahun
kepemimpinannya sebagai Menteri Besar Kedah kesembilan di sebalik
pelbagai isu, krisis dalaman, kritikan, tekanan luar serta faktor
kesihatan yang membelenggu beliau.
Mempunyai sifat humor dalam dirinya, Allahyarham dikenali sebagai
seorang pemimpin yang tegas dalam membuat sesuatu keputusan dan sukar
bagi sesiapa untuk mempengaruhi fikirannya berhubung sesuatu perkara
yang difikirkannya betul.
Allahyarham juga disenangi oleh banyak pihak termasuk kawan dan
lawan politik kerana beliau boleh bergaul serta mesra dengan sesiapa
sahaja tanpa mengambil kira ideologi mereka.
Aliran pendekatannya itu dapat dilihat apabila Allahyarham tidak keberatan untuk berada bersama dengan pemimpin UMNO dan BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta bekas
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung
dalam sesuatu majlis.
''Saya boleh pi (pergi) tang (ikut) mana pun, tiada masalah apa.
Semua kawan saya. Kalau saya setuju dengan dia orang saya kata yes, tak
setuju kata no.''
Kata-kata itu yang pernah diungkapkan Allahyarham semasa menghadapi
tekanan hebat politik pada Februari 2012 ekoran krisis dalaman Pas
Kedah, masih kuat dalam ingatan penulis.
Meskipun sering menerima kritikan pedas dalam pentabdirannya,
Allahyarham sentiasa bersikap profesional dengan semua pihak termasuk
para wartawan yang mengajukan pelbagai soalan terhadap beliau.
Allahyarham jarang 'melompat' jika soalan itu kurang disenangi
beliau dan akan menjawab dengan pelbagai cara sama ada biasa, serius
atau berseloroh. Lazimnya jawapan tersebut bersertakan dengan contoh
mengenai sesuatu isu yang diulasnya.
Pendekatan berkenaan mungkin berpunca daripada pengalamannya yang pernah menjadi Pengarah Urusan lidah rasmi Pas, Harakah menyebabkan Allahyarham memahami selok belok dan tuntutan tugas warga media.
Sikapnya itu juga membuatkan rakan-rakan wartawan menyenangi Allahyarham walaupun kelihatan agak garang pada zahir dan nada pertuturannya.
Allahyarham tidak pernah menjadikan faktor kesihatannya sebagai
alasan yang boleh menjejaskan tumpuan mengetuai kerajaan Kedah ketika
memegang jawatan Menteri Besar mahu pun membawa jentera pembangkang
menghadapi PRU-13.
Beliau yang merupakan antara pemimpin Pas paling lama menjadi wakil
rakyat di Kedah berpandangan dunia politik bukan dari segi usia atau
kesihatan tetapi tentang visi dan strategi.
Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Sungai Limau Dalam, Yan
berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar dan
Undang-Undang dari Universiti of Kent, United Kingdom.
Beliau merupakan bekas Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) selain pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State
University, Filipina dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) dari tahun 1983 dan 1984 serta 1986 hingga 1995.
Allahyarham mula menyertai Pas pada 1978 di England dan bergiat
aktif dia dalam parti itu di negara ini sejak 1986. Beliau pernah
menyandang jawatan Naib Presiden Pas (2003-2005), Ketua Penerangan Pas
Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama Pas (sejak 1991) dan Ahli
Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sejak 1993.
Azizan juga adalah Pesuruhjaya Pas Kedah sejak 2000 menggantikan
Allahyarham Datuk Fadzil Mohd. Noor. Allahyarham menjadi wakil rakyat
Sungai Limau (dahulu dikenali DUN Sala), Kedah sejak 1995 dan berjaya
mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya umum lalu.
Allahyarham mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai
pemimpin Pas pertama dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia
Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena sambutan ulang tahun
keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah
pada Jun lepas.
Kehadirannya dalam arena politik negara akan setiasa diingati dan
dikenang sebagai seorang ahli politik berpengalaman luas dan pemimpin
Pas pertama yang pernah menerajui pentadbiran Kedah.
Al-Fatihah! - UTUSAN