Syukran ya Ustaz Jamaluddin.. taklimat dari Ustaz memang informative.. terbaik dari Tabung Haji.. |
Hari ini bertarikh 7 Oktober 2013 bersamaan 2 Zulhijjah 1434 Hijrah. Itu bermaksud, genap seminggu lagi semua jemaah haji pada tahun ini akan beramai-ramai berwukuf di padang Arafah, lokasi yang menjadi saksi pertemuan Adam dan Hawa setelah dibuang ke bumi Allah ini...
Semalam, jemaah haji Malaysia melakukan persediaan awal menjelang hari "besar" bagi para jemaah haji. Satu ujian yang sangat berat bakal dilakukan dalam tempoh 7 hari lagi...
Untuk itu, semua jemaah dari Maktab 97 berhimpun di tingkat 13 "funduq" Janadriah bagi mengikuti taklimat dari pihak Tabung Haji berkenaan ibadah yang menjadi rukun di dalam mengerjakan ibadah haji.
Jemaah haji berkumpul awal..tak sabar untuk mendengar taklimat tentang pergerakan di Arafah.. |
Kali ini, Ustaz bertugas yang penulis kenali sebagai Ustaz Jamaluddin bertanggungjawab menyampaikan taklimat penting itu. Beliau dibantu oleh Ustazah Dayang bagi memberikan kefahaman menyeluruh tentang wukuf, pengertian dan hikmah di sebaliknya...
Alhamdulillah. Pada penulis, taklimat tersebut benar-benar memberikan informasi yang sangat berguna pada seluruh jemaah haji. Ia disampaikan di dalam bahasa santai yang mudah untuk difahami oleh setiap jemaah.
Penulis tersentuh apabila diberitahu bahawa antara hikmah perjalanan ibadah wukuf itu adalah mengambil iktibar pertemuan antara Adam dan Hawa. Nabi Allah, Adam AS dibuang ke India sebelum bertemu isterinya, Hawa, di Arafah.
Para jemaah haji tekun mendengar penerangan dari Ustaz Jamaluddin dan Ustazah Dayang... |
Setelah bertemu, Adam dan Hawa 'alaihimassalam bermunajat memohon ampun serta bertaubat selama 12 tahun di situ sebelum diterima Allah SWT.
Betapa Allah memuliakan umat Muhammad SAW apabila kita hanya memerlukan lebih kurang separuh hari saja untuk bertaubat di Arafah. Kata Ustaz Jamaluddin, taubat dan doa umat Muhammad SAW di Arafah sangat mudah diterima dan mustajab di sisi Allah.
Dalam keadaan berihram, kita akan sentiasa mengingati mati. Malah dengan sepasang kain ihram membaluti tubuh, kita semua adalah sama disisi Allah. Gelaran Tan Sri, Puan Sri, Datuk Seri, Datin Seri dan sebagainya tidak laku di Arafah.. semuanya sama saja...
"Innama akramakum 'aidAllah atqaakum", firman Allah itu membawa maksud bahawa kemuliaan seseorang hambaNya itu diukur dari sudut taqwa yang ada padanya. Tidak pula disebut pangkat dan darjat....
Ini la Ustaz Jamaluddin...terbaik Ustaz... |
Selain itu, Ustaz Jamaluddin turut memberi pelbagai tips dan memberi nasihat berguna pada semua jemaah haji supaya bersabar dengan sebarang ujian di dalam perjalanan ke Makkah - Arafah - Muzadalifah - Mina - Makkah. Ia digelar "Masya'ir".
Apapun, penulis puji Tabung Haji dengan mengadakan persiapan rapi melalui taklimat yang disampaikan. Dan penulis yakin, semua jemaah haji yang lain bersetuju dengan penulis tentang keprihatinan Tabung Haji dalam menjaga ibadah para jemaah supaya sempurna di sisi Allah SWT...
Doakanlah kami tabah menghadapi ujian mencabar itu nanti. Mudah-mudahan kami diberi kekuatan, tubuh badan yang sihat dan mendapat hikmah di sebalik ibadah terbesar bagi seluruh umat Islam itu nanti...
Penulis buat haji Tamattu'.. haji jenis ni kena bayar denda (DAM)... kebanyakkan jemaah mengerjakan haji Tamattu'.. tak cukup yakin dengan kekuatan diri untuk mengerjakan haji Ifrad... |
Ya Arafah... kami akan datang pada mu. Nantikanlah kehadiran kami dengan senyuman dan kerahmatan Allah. Permudahkanlah ibadah kami dan moga Arafah turut mendoakan kami moga mendapat haji yang mabrur.. insyaallah...