Eksklusif Haji 1434H: Perjalanan ke Rumah Allah bermula...

Seawal jam 12 tengahari, penulis tiba di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya yang kini dikenali sebagai TH Hotel Kelana Jaya. Walaupun sepatutnya penulis melapor diri pada jam 9.30 malam, lambaian Kaabah yang menggamit membuat penulis teruja untuk tiba awal di lokasi...

Kehadiran penulis disambut mesra para petugas Lembaga Tabung Haji. Penulis diberi sebuah bilik yang dikongsi bersama 4 orang lagi jemaah yang dijemput menjadi tetamu Allah pada musim Haji 1434 Hijrah.. 

Cukup selesa dengan kemudahan itu, penulis menunggu penuh sabar di bilik menantikan jam 9.30 malam. Seorang demi seorang bakal haji mendaftar, termasuklah teman-teman sebilik penulis.

Alhamdulillah, salah seorang teman sebilik penulis merupakan seorang ustaz dari Jabatan Agama Islam yang ditugaskan sebagai Guru Agama bagi membimbing jemaah di tanah suci nanti. Kesempatan itu penulis gunakan sepenuhnya untuk menimba ilmu, pengalaman dan tunjuk ajar beliau secara teori...

Akhirnya, detik 9.30 malam hadir jua. Penulis dan jemaah-jemaah haji lain memulakan langkah "route to Baitul Ateeq" apabila pihak Tabung Haji membuka "pintu" ke sana. 

Syukur pada Allah. Hanya dalam tempoh yang sangat singkat, semua jemaah haji bagi penerbangan kami selesai sebelum kami diberikan taklimat khas sebelum bertolak ke KLIA di sebuah dewan. Memang terbaik perkhidmatan yang diberikan oleh para petugas Tabung Haji...

Selain taklimat, ustaz-ustaz di Tabung Haji membimbing zikir munajat dan bacaan doa semoga para jemaah dari Malaysiak dikurniakan haji yang mabrur...insyaAllah...

Setibanya kami di KLIA, kapal terbang telah menunggu. Hati penulis begitu teruja. Masuk saja ke perut kapal terbang, baru penulis perasan tentang perut penulis yang asyik "berkeroncong". Rupanya penulis terlupa makan malam! Mungkin terlalu teruja sangat kot.... 

Alhamdulillah tidak lama selepas berlepas, kami para tetamu Allah dijamu dengan "nasi mandiy" ayam. Sedap! Sepanjang tempoh penerbangan selama kira-kira 8 jam itu, 2 kali kami dijamu di dalam pesawat Saudi Arabia Airlines... pandai Tabung Haji pilih syarikat penerbangan...

Penulis "tidur-tidur ayam" di sepanjang perjalanan ke Tanah Suci. Tidak sabar rasanya ke sebuah negara yang menjadi pusat penyebaran Islam ke seluruh dunia. Negara kelahiran Rasulullah SAW. Tanah Haram yang dirahmati Allah...nantikanlah kehadiran kami...