UMNO disaran mewujudkan majlis ulama
UMNO yang peranannya setaraf dengan sayap parti itu atau menyediakan
satu platform khas bagi golongan agamawan untuk membolehkan mereka
bersuara dalam membantu perjuangan parti terbesar orang Melayu itu.
Pengerusi Badan Bertindak Agama Minda
Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berpendapat, penubuhan
majlis itu bagi memastikan perjuangan UMNO dalam menegakkan Islam berada
di landasan betul.
Beliau berkata, ia juga dapat menangkis
segala tuduhan dan tohmahan liar yang dilemparkan parti pembangkang
khususnya Pas bahawa UMNO sentiasa meminggirkan golongan agama.
“Saya cukup yakin dengan penubuhan
majlis ulama ini atau satu platform khas untuk golongan agamawan ini
akan mewujudkan keseimbangan dan meyakinkan rakyat untuk kembali memilih
UMNO serta mengekalkan parti itu pada pilihan raya umum akan datang,”
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan
Pertubuhan Ilmuwan Malaysia yang menyokong penuh cadangan agar UMNO
diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama bagi bersama-sama
parti itu demi masa depan Islam dan Melayu.
Penasikat Eksekutif pertubuhan
itu, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, cadangan itu wajar diperhalusi
dan dipertimbangkan kerana dilihat sejajar dengan agenda transformasi
parti yang sedang diusahakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk
Mukhriz Mahathir mencadangkan agar UMNO memberi ruang kepada golongan
agama untuk bersama-sama menerajui parti itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Syamsul yang
menyokong kenyataan Fathul Bari itu berkata, penglibatan lebih serius
golongan agama dalam UMNO turut diyakini dapat mengangkat imej parti
tersebut dalam kalangan rakyat yang selama ini hanya melihat Pas yang
menjuarai isu-isu agama.
“Sedangkan UMNO sendiri sudah
memperjuangkan agama sebagaimana termaktub dalam perlembagaannya, cuma
orang agama dilihat tidak diberi tempat sewajarnya dalam parti,”
katanya.
Sementara itu, aktivis Ikatan
Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd. Zawawi Awang berpendapat,
ketika ini golongan agama terutama ustaz-ustaz muda amat kurang diberi
tempat dalam parti sama ada di peringkat bahagian mahupun negeri.
Justeru katanya, cadangan supaya
golongan agama diberi peranan lebih besar dalam parti UMNO perlu
dipertimbangkan kerana ia sebenarnya merupakan proses ‘ulang kembali’
peranan ulama dalam UMNO yang telah wujud sebelum ini tetapi
‘diketepikan’ sehingga membawa kepada penubuhan Pas.
“Saya menyokong golongan agama diberi
ruang supaya transformasi UMNO benar-benar menguntungkan orang Melayu
dan Islam. Selain itu, untuk meremajakan UMNO, maka parti kena sedia
platform khas kepada golongan agama ini tanpa melibatkan pemilihan atau
pertandingan,” katanya.