Alhamdulillah, selesai berwuquf pada 9 Zulhijjah 1434 Hijriyyah, sebahagian besar jemaah haji Malaysia bermabit (bermalam) di Muzdalifah buat seketika sebelum meneruskan perjalanan ibadah mereka di Mina.
Bergerak seawal lebih kurang jam 5.45 petang (waktu Saudi), para jemaah tiba di Muzdalifah untuk mengutip sebanyak 71 biji anak batu atau lebih bagi kegunaan melontar ketiga-tiga jamrah.
Rombongan Jemaah terakhir tiba untuk bermalam di Mina adalah sekitar jam 6 pagi.
Bagi penulis yang bercadang untuk melakukan "nafar awwal", penulis bermabit di Muzdalifah seketika dan meneruskan perjalanan ke Makkah bagi melaksanakan tawaf ifadhah (tawaf haji) dan sa'ei...
Selesai bertawaf dan bersa'ei awal pagi 10 Zulhijjah itu, maka penulis bertahallul awwal (bercukur/bergunting).
Selesai bercukur yang sunat hukumnya, maka gugurlah 10 larangan di dalam ihram, manakala 3 lagi larangan masih kekal.
Menurut ustaz pembimbing dari Tabung Haji, dosa-dosa kita akan gugur sebanyak rambut kita yang dicukur atau digunting di dalam proses bertahallul itu, insyaallah...
Manakala 3 larangan yang masih kekal itu hanyalah yang bersangkutan dengan shahawat dan nikah sahaja.
Tidak sabar untuk menggugurkan dosa-dosa, penulis botakkan kepala seawal subuh 10 Zulhijjah di perkarangan Masjidil Haram! Alhamdulillah, tenang sungguh hati penulis setelah selesai bercukur...
Apabila gugur ihram, penulis secara automatik sudah dibenarkan untuk mandi mengunakan sabun wangi, memakai pakaian berjahit dan wangi-wangian...
Setelah menunaikan solat subuh, penulis tidur sebentar. Letih benar rasanya...
Tapi sebelum nak tidur, baru penulis teringat bahawa pagi itu adalah pagi Hari Raya Aidil Adha. Penulis sekadar tunaikan solat sunat Raya Haji di bilik saja pagi itu. Terlalu letih, sakit-sakit kaki dan mengantuk sungguh rasanya ketika itu...
Tapi baru saja nak tidur, teringat pula pada anak isteri di tanahair. Penulis capai pula telefon bimbit dan menghubungi isteri di Malaysia. Rindu benar pada mereka dan keluarga. Selepas itu barulah penulis dapat lelapkan mata...