Jemaah Malaysia sebenarnya telah mula pulang ke tanahair sejak 21hb yang lalu. Penerbangan KT 1 hingga KT 4 meninggalkan Makkah Al-Mukarramah untuk menaiki pesawat di Jeddah.
Sehingga kini, masih ada sebahagian dari lebih 20,000 jemaah Malaysia yang masig di Makkah dan menanti giliran masing-masing untuk pulang, termasuk penulis sendiri.
Semalam, penulis sempat ke Madinatul Hujjaaj, lokasi yang menjadi tempat transit jemaah haji sebelum di bawa secara berperingkat ke lapangan terbang King Abdul Aziz, Jeddah.
Melihat kemudahan, "flow" pengurusan membawa pulang jemaah haji dan keadaan teratur yang dirancang pihak Tabung Haji, penulis merasa lega.
Di Madinatul Hujjaaj, kemudahannya lengkap dengan asrama penginapan untuk jemaah berehat, surau, tandas, kafeteria dan kedai "buah tangan" terakhir sebelum menaiki kapal terbang.
Selain itu, jemaah turut diingatkan untuk mematuhi had bagasi yang dibenarkan pihak syarikat penerbangan sebanyak 30 kg di kargo pesawat dan hanya 5 kg sahaja untuk beg yang dibawa masuk ke kabin (hand luggage).
Namun begitu, mana-mana jemaah yang mempunyai lebihan berat barang boleh membawa pulang barangan tersebut dengan membayar harga sebanyak SR25 untuk sekilo pada MAS atau Saudi Airlines.
Seperkara yang menyentuh hati penulis, para petugas Tabung Haji benar-benar mengambil berat tentang para jemaah kita hatta di saat terakhir sebelum menaiki kapal terbang, khususnya bagi warga emas dan kurang upaya.
Misalnya, seorang petugas Tabung Haji sanggup bersusah payah mendukung seorang warga emas naik ke atas bas dan menyediakan tempat yang selesa untuk ibu kita itu.
Terharu penulis melihat keprihatinan tersebut. Itu membuktikan bahawa selagi terdaya, para petugas Tabung Haji melayan ibubapa kita seolah-olah ibubapa mereka sendiri ketika berada di bumi kelahiran para anbiya ini.
Selagi terdaya, mereka tetap komited memberikan khidmat yang terbaik untuk ayah dan ibu kita di Tanah Suci ni...Syabas!