Terkini dari Baitul Ateeq: Jemaah pertama selesai ibadah haji.. Alhamdulillah...

Alhamdulillah dan subhanallah, segala puji-pujian bagi Allah SWT. Jemaah pertama Malaysia telah selesai menunaikan ibadah haji sesudah subuh pagi tadi, termasuk penulis.

Masih terasa sedih di hati penulis dengan tamatnya ibadah yang merupakan rukun ke-5 dalam agama kita tu. Entah bila akan dijemput Allah untuk menunaikan haji selepas ini...

Juga masih terkenang perjalanan kami berulang alik dari Makkah ke Mu'aisim di Mina untuk bermabit (bermalam). Perjalanan itu mengambil masa lebih setengah jam dan berjarak lebih kurang 6 kilometer...

Memang rasa sengal di kaki berjalan lebih 12 km sambil menunaikan ibadah melontar di Jamrah.

Namun bila dikenang perjalanan dan cara Rasulullah SAW bermabit di Mina kira-kira 1434 tahun dulu, rasa letih dan sakit kaki itu bertukar pada perasaan semangat, jihad dan pengorbanan yang tinggi untuk beribadah pada Allah SWT.

Bila terkenangkan pula Nabi Allah Ibrahim AS yang diganggu syaitan ketika dalam perjalanan menunaikan perintah Allah untuk berkorbankan anaknya, Nabi Ismail AS, rasa nak melontar syaitan di ketiga-tiga jamrah begitu berkobar-kobar...

Memang benar penulis dan rakan-rakan boleh bermabit separuh malam di pinggir Mina yang bersempadan denga Makkah. Memang benar penulis tak perlu ke Mu'aisim yang jaraknya 6 km dari jamrah dan cukup untuk berada di permulaan lokasi melontar...

Tapi penulis rasa kurang puas. Kurang puas jika terlalu mengambil mudah ibadah haji ini. Mengenangkan kesusahan dan perjalanan rombongan haji yang diketuai Rasulullah dulu, penulis rasa apalah sangat kalau bersusah payah untuk bersama seluruh para jemaah kita di Mu'aisim..kan? Baru terasa nikmatnya haji...

Sebenarnya keadaan kediaman di Mina memang agak dhaif. Nak masuk tandas pun kena beratur panjang. Meskipun begitu, jemaah masih tidur di dalam khemah yang berlapik karpet dan dilapik lagi dengqn tikar serta sejadah. Malah berhawa dingin, setiap khemah ada lebih dari satu aircond!

Cuba bayangkan bermabit di Mina di zaman Rasulullah SAW dulu. Tiada karpet atau khemah moden yang kuat strukturnya. Tandas? Jangan haraplah! Nak cari air pun susah dan menggunakan kaedah bertayammum...lagi perit, kan?

Jadi bersyukurlah dengan kemudahan yang ada. Beratur pun tak mengapa asalkan ibu bapa kita yang sudah tua itu tak perlu merayau-rayau di tengah malam mencari tempat "membuang hajat" dan bersusah payah pula mencari debu tanah untuk bertayammum, bukan?

Pada penulis, falsafah haji adalah satu perjalanan ibadah yang memerlukan pengorbanan, kesabaran, sikap zuhud dan tawadhuk yang amat tinggi. Kita perlu redha dengan segala ujian dan dugaan di sepanjang tempoh tersebut...

Penulis yakin, kerajaan Arab Saudi kaya raya dan lebih dari mampu untuk menyediakan kemudahan bertaraf 5 bintang di semua lokasi Masya'ir iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina. Tapi mungkin para ulama Saudi tidak benarkan kemudahan mewah sebegitu dibina.

Kenapa? Pada penulis, perjalanan ibadah haji itu bukanlah merupakan sebuah "pakej pelancongan" selama 45 hari. Ia adalah satu proses ibadah pada Allah yang mengajar manusia erti keinsafan dan rasa kerdil di mata Allah SWT. Kalau nak bermewah-mewah, bawalah RM10,000 anda dan bercuti di kepulauan Maldives atau Switzerland. Cuma mungkin ongkosnya tak cukup untuk tempoh 45 hari laaa...

Alhamdulillah, para jemaah pertama telah menamatkan ibadah agung di dalam rukun Islam ke-5 tadi. Apa yang diharapkan ialah semoga Allah SWT menerima taubat dan ibadah kami dengan hadiah paling bermakna - hajjan mabrura (haji yang mabrur). Doakanlah kami... Amin...