Kenderaan jenazah yang membawa jemaah haji yang meninggal dunia di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah... |
Al-Fatihah. Penulis dimaklumkan bahawa 2 orang lagi jemaah haji dari negara kita meninggal dunia dalam menanti saat wukuf di Arafah kira-kira 5 hari lagi akibat masalah jantung dan strok (angin ahmar).
Menurut maklumah dari petugas Tabung Haji, seorang jemaah yang meninggal dunia itu berasal dari Kg Teluk Gelam, Jitra, Kedah. Manakala seorang lagi jemaah, berasal dari Kg Sg Tiram, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Jemaah haji dari Kedah, Mustafa Sulaiman berumur 67 tahun ketika menghembus nafas terakhir di biliknya yang terletak di Hotel Al-Olayan, Makkah, kira-kira jam 4.50 petang (waktu Saudi) semalam (7 Oktober 2013) dan telah dikebumikan di tanah perkuburan As-Syaraek.
Allahyarham meninggalkan seoran balu, Gayah Abu Hassan, yang datang bersama-samanya untuk menunaikan rukun Islam ke-5 itu.
Manakala jemaah haji dari Pulau Pinang, Salbiah Osman, pula dilaporkan meninggal dunia di Pusat Rawatan Aziziyyah pada awal pagi tadi. Allahyarhamah dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama.
Salbiah yang meninggal dunia pada umur 69 tahun itu sebelum ini menginap di Maktab 100, Hotel Rehab Janadriah, Makkah.
Menurut petugas Tabung Haji berkenaan, waris-waris bagi kedua Allahyarham dan Allahyarhamah telah dimaklumkan mengenainya.
Kematian 2 jemaah haji tersebut merupakan kematian ke-7 dan ke-8 bagi seluruh jemaah haj dari Malaysia yang dijemput Allah menunaikan ibadah haji pada musim 1434 Hijrah kali ini.
Al-Fatihah. Seluruh jemaah haji dalam keadaan berdukacita, namun tetap akan meneruskan ibadah haji kali ini dengan tabah. Doakan kami diberikan kesihatan yang terbaik bagi menjalani ibadah di Tanah Suci ini, insyaallah...