KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin
Mulia jarang mencelah semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat tetapi hari
ini, beliau bertindak menyindir Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) dengan satu sindiran cukup tajam.
Tindakan spontan Pandikar Amin itu menyebabkan Khalid yang sebelumnya
cukup lantang melemparkan pelbagai kritikan terhadap kerajaan dan
Kementerian Kerja Raya dengan nada suara tinggi dalam isu lebuh raya dan
tol, menjadi terkedu.
"Saya tertunggu-tunggu suatu hari nanti Shah Alam jadi Menteri Kerja
Raya. Saya mahu dengar ketika itu apabila diasak, bagaimana Shah Alam
mahu menjawab," kata Pandikar Amin penuh sinikal menyebabkan Khalid
hanya mampu ketawa kecil.
Terdahulu, Khalid mempersoal mengapa kerajaan tidak mampu
menghapuskan tol yang didakwanya membebankan rakyat serta menegaskan Pas
pernah tidak bersetuju dengan pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS)
suatu ketika dahulu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof dalam kenyataan balasnya
terhadap Khalid semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa
berkata, kerajaan terikat dengan perjanjian dan tol diperlukan untuk
menampung kos penyelenggaraan.
Dalam masa sama, beliau mempersoal tindakan Khalid yang tidak
menyelar cadangan Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu mengenakan tol terhadap
projek laluan terowong bawah laut di negeri tersebut.
"Bercakap soal penghapusan tol ini tidak perlu pergi jauh. Sebuah
negeri pulau yang mahu membuat terowong bawah laut pun mahu kenakan tol,
mengapa tidak persoal?" katanya.
Selain itu, beliau turut menyelar sikap pemimpin pembangkang yang
tidak mahu mengakui peranan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam
menambah baik pelbagai infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya
berturap di seluruh negara.
"Begitu banyak jalan yang kerajaan bina tapi tidak berterima kasih.
Pembangkang ini hanya pandai kutuk jika ada satu lubang di sepanjang
jalan tersebut. Kita sepatutnya kena praktikal dan realistik dalam hal
ini," katanya. - Utusan