Anak arwah Ustaz Azizan direstu ibu sertai politik

ALOR SETAR - Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah merestui jika anak-anaknya yang berhasrat menceburi politik sepenuh masa selepas ketiadaan suaminya.

Isteri bekas menteri besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak berkata, empat anak lelakinya menunjukkan minat dalam politik iaitu anak kedua, Yahya Sharaf, Zakaria (ketiga), Ahmad Rafi’iy (kelima) dan Ahmad Faiq (ketujuh).

“Bagaimanapun buat masa ini, mereka ada komitmen lain dan mempunyai pekerjaan. Jika yang mahu berpolitik secara aktif pada masa depan,  saya tak halang,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa penglibatan anak-anak Allahyarham adalah untuk meneruskan legasi Azizan dalam Pas Kedah.

"Pembabitan mereka dalam politik sebelum atau selepas ini bukan untuk teruskan legasi Azizan dalam parti sebaliknya untuk bersama-sama berjuang demi kebaikan Pas sejagat,” katanya.

Menurutnya, anak-anak sering membantu dan memberi sokongan terhadap perjuangan Allahyarham, namun hanya di belakang tabir bagi mengelak persepsi buruk menumpang populariti Azizan.

“Mereka tolong dalam kempen atau hadir program parti. Namun sejak Allahyarham sakit, mereka mula sedar bahawa pembabitan mereka amat diperlukan. Mereka tergerak hati untuk menyumbang secara langsung kepada parti dan mula tampil,” katanya.

Bagaimanapun keempat-empat anak Azizan tidak menjawat jawatan penting dalam parti, dan sekadar menjadi ahli.

“Saya tak halang jika mereka nekad mahu bergelumang dalam politik yang penuh cabaran dan dugaan. Saya lihat mereka ada kecenderungan ke arah politik dan turut menunjukkan minat. Malah mereka berkawan baik dengan rakan-rakan Allahyarham,” katanya.

Faekah berkata, tidak mustahil suatu hari kelak, anak-anaknya turut mengikut jejak ayah mereka berbakti untuk parti dan akan memberi sokongan dan dorongan.