DALAM satu perjumpaan dengan bloggers
pelbagai kaum di Kuala Lumpur pada Januari 2011, bekas Menteri Besar
Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat ditanya kenapa Pas seolah-olah tidak
mahu melaksanakan hudud. Jawabnya: “Dr Mahathir datang ke Kelantan
memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksanakan hudud, kerajaan
Pusat akan mengambil tindakan. Sebelum ini, Kelantan pernah digantung
perlembagaan oleh Mageran.”
Beberapa bloggers yang hadir hairan
kerana Nik Aziz mengaitkan pelaksanaan hudud dengan Mageran (Majlis
Gerakan Negara). Mageran di Kelantan pada 1977-78 adalah untuk
menyelamatkan negeri itu yang dilanda sengketa politik. Ia bertujuan
mententeramkan keadaan dan memulihkan pentadbiran sivil. Selepas reda,
kuasa diberi semula kepada kerajaan pilihan rakyat untuk berfungsi.
Mageran tidak ada kena mengena dengan hudud.
Dalam kempen pilihan raya, pemimpin Pas
sering beri alasan bahawa perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir
Mohamad menentang pelaksanaan hudud. Mereka ulang-ulang kenyataan Nik
Aziz yang takut Mageran dikenakan di Kelantan jika hudud dilaksanakan.
Padahal Tun Dr Mahathir hanya memberi ingatan secara umum agar
pelaksanaan hudud tidak sebabkan kekecohan, tetapi pemimpin Pas telah
memutar belit dan mengaitkan kegagalan dan ketidaksediaan kerajaan
negeri dengan kenyataan bekas perdana menteri itu.
Surat Tun Dr Mahathir bertarikh 8 Jun
1994 tidak langsung menyebut Mageran atau sebarang tindakan khusus
terhadap mana-mana pemimpin Pas. Dalam suratnya, Tun Dr Mahathir
menyatakan bahawa kerajaan Pusat akan berpandukan kaedah Islam dalam
tindakannya, iaitu menjaga kepentingan ramai. Beliau menekankan perlunya
kerajaan bertindak secara adil untuk mengelak berlakunya kezaliman dan
huru-hara.
Oleh kerana ada kesangsian di kalangan
pakar perundangan bahawa hukum hudud yang hendak dilaksanakan Pas adalah
benar-benar adil dan menepati ajaran Islam, Tun Dr Mahathir
mengingatkan tindakan Pas yang dianggap berat sebelah atau zalim akan
memberi gambaran negatif kepada bukan Islam, sebabkan mereka menjauhkan
diri daripada Islam dan tidak berminat memeluk Islam.
Bahagian penting dalam surat Tun Dr
Mahathir kepada Nik Aziz ialah: “Hudud Islam bertujuan memberi keadilan
kepada semua, bukan untuk kezaliman. Undang-undang Pas jika zalim
tentunya bukan menepati Islam. Kerajaan Pusat tidak berhajat bersubahat
dengan Pas (dan) akan terus mempertahankan ajaran dan nilai agama.
Jika Pas menjalankan sesuatu yang
bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam, kerajaan Pusat akan
ambil tindakan yang sewajarnya demi menjaga maruah dan ketinggian
martabat Islam dan penganut-penganutnya.”
Jelas, Tun Dr Mahathir tidak membantah
hajat Pas. Beliau juga memperingati Pas agar memastikan undang-undang
syariah yang hendak dilaksanakan mestilah adil, tidak berat sebelah atau
menzalimi sesiapa. Kerajaan Pusat bertanggungjawab ke atas kebajikan
dan kepentingan semua rakyat, justeru hanya bertindak jika
pelaksanaannya menimbulkan huru-hara.
Tidak disebut pasal sekatan, bangkangan
atau Mageran. Malah, dalam ucapannya di Nilam Puri pada tahun 1994,
beliau menyebut: “Kita tidak tolak hukum hudud. Kita cuma tolak tafsiran
dan undang-undang Pas yang tidak serasi dengan maqasid syariah. Menolak
sesuatu yang salah adalah wajib.”
Ada pihak bertanya adakah hudud hendak
diperkenalkan Pas Kelantan sama seperti di Arab Saudi atau pernah
dilaksanakan puak Taliban di Afghanistan. Beberapa NGO bukan Islam juga
bimbang hudud berwajah Pas, bukan berpandukan perundangan Islam. Sebelum
ini, rakyat melihat bagaimana pemimpin Pas yang terbabit dengan skandal
seks dan penyelewengan kuasa tidak diambil tindakan oleh pucuk
pimpinannya. Manakala pemimpin yang cuba menegah penjualan arak di kedai
dalam kawasan bermajoriti Melayu telah dipecat dari parti.
Ada kekeliruan sama ada hudud boleh
dikenakan ke atas bukan Islam. Kebetulan, ada pemimpin Pas yang kata ya,
ada yang kata tidak. Pada April lalu, Timbalan Pengerusi DAP Johor,
Norman Fernandez menyeru rakyat bukan Islam tidak undi Pas selagi
perkara ini tidak dijelaskan.
Umumnya, orang bukan Islam melihat Pas
sebagai parti hanya fokus kepada hudud sahaja, tapi kurang idea mengenai
ekonomi dan pembangunan taraf sosioekonomi rakyat. – Sinar Harian Online