Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd. Roslan Mahayudin berkata,
ketiga-tiga suspek berumur antara 15 dan 18 tahun itu ditahan kerana
mengoperasikan laman web untuk memuat turun dan menayangkan filem-filem
tempatan tanpa kebenaran pemilik hak cipta.
Beliau berkata, mereka ditahan di rumah masing-masing dalam serbuan
Ops Spyglass yang dijalankan pada 29 Oktober dan 8 November lalu di
Selangor serta Pulau Pinang.
"Serbuan dilakukan setelah kami menerima aduan daripada pemilik hak
cipta dan orang ramai tentang aktiviti jenayah siber yang melibatkan
filem tempatan seperti KL Gangster 2, KL Zombie dan Tanda Putera.
"Laman web tersebut adalah www.allinoneattheremovies.blogspot.com yang beroperasi di Selangor dan www.pjsenter.com serta www.piratebytez.com yang beroperasi di Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Serbuan yang disertai 10 penguat kuasa itu turut mendapat kerjasama
daripada pegawai Cybersecurity Malaysia (Cybersecurity) yang memberikan
bantuan teknikal semasa pemeriksaan.
Mohd. Roslan berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas tiga
komputer riba, masing-masing dua router dan modem serta satu unit jalur
lebar yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM12,000.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kini diletakkan di bawah jaminan
polis dan tindakan akan diambil setelah urusan peperiksaan persekolahan
mereka selesai.
"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 1(G) Akta Hak Cipta 1987.
"Sekiranya disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan
sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau
kedua-duanya sekali," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, berdasarkan soal siasat,
suspek memaklumkan filem-filem yang disediakan diperoleh daripada laman
web lain.
"Antaranya www.ganool.com yang beroperasi di Jawa Timur dan http://pencurimovie.sx/ serta http://moviepecah. blogspot.com/ dipercayai beroperasi di Eropah.
"Pihak penguat kuasa akan mengenal pasti pemilik laman web berkenaan
dan mengambil tindakan kepada mereka, buat masa ini notis halangan akses
dikeluarkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) untuk tindakan lanjut," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa memantau aktiviti siber
anak-anak masing-masing supaya mereka tidak melakukan sebarang perkara
menyalahi undang-undang. -Utusan