KUALA LUMPUR - Tribunal Jenayah Perang
Kuala Lumpur (KLWCT) memutuskan Israel dan bekas Jeneralnya, Amos Yaron
didapati bersalah melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin di
Kem Sabra dan Shatila di Beirut pada 1982.
Para panel hakim diketuai Presidennya yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Lamin Mohd. Yunus
membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya
membuktikan kesalahan melampaui keraguan munasabah sepanjang sesi
pendengaran mulai Sabtu lalu hingga hari ini.
Enam panel hakim lain dalam tribunal berkenaan ialah Tunku Datuk
Sofiah Jewa, Prof. Salleh Buang, Profesor Datuk Shad Saleem Faruqi,
Datuk Mohd. Saari Yusof, John Philpot dan Tunku Intan Mainura.
"Panel hakim telah memutuskan Israel dan Amos memang berniat menghapuskan kesemua atau sebahagian penduduk Palestin.
"Amos juga didapati bersekongkol dengan tenteranya dalam satu operasi
yang membunuh kira-kira 3,500 pelarian termasuk wanita dan kanak-kanak
di kem itu," katanya di sini hari ini.
Ketika membentangkan penghakiman sebanyak 32 muka surat itu, Lamin
memberitahu, bukti dan keterangan oleh saksi-saksi pendakwaan adalah
kukuh dan diterima tribunal.
Menurut beliau, bukti-bukti itu merangkumi segala bentuk kekejaman tentera Israel sejak 1948 sehingga kini.
Dalam masa sama, tambah beliau, KLWCT mencadangkan Suruhanjaya
Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLFCW) mengemukakan sabitan bersalah itu
dan prosiding berkaitan kepada Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah
Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis
Keselamatan PBB untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Pendakwaan, Gurdial Singh Nijar menyifatkan keputusan tersebut amat besar ertinya kepada penduduk Palestin yang berhadapan dengan kekejaman Israel sejak 1948.
"Kenyataan daripada saksi-saksi iaitu penduduk Palestin sama ada
beragama Islam atau Kristian jelas membuktikan tentera Israel
sememangnya cuba mengusir dan membunuh mereka yang enggan keluar dari
negara berkenaan sejak 1948 hinggalah sekarang," katanya. -Utusan