SEBUAH hadis daripada Abdullah bin Umar
RA katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum wanita!
Bersedekahlah kamu dan perbanyakanlah istighfar iaitu memohon ampun
kepada ALLAH SWT. Ini kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai
menghuni neraka.”
Lalu seorang wanita di antara mereka
bangkit bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah SAW, kenapa kami kaum
wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?”
Baginda SAW bersabda: “Ini kerana kamu
banyak mengingkari perintah suami. Maka aku tidak pernah melihat mereka
yang kekurangan akal dan agama melainkan daripada golongan kamu.
“Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah SAW! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?
“Lalu Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud : “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua wanita adalah
sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan
akal.
Adapun yang dimaksudkan dengan kekurangan agama ialah wanita yang
tidak mendirikan solat pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka
pada bulan Ramadan disebabkan kedatangan haid.”
Daripada pandangan mata kasar melihat
golongan wanita itu lemah-lembutnya, namun apabila menyingkapkan maksud
hadis berkenaan jelas betapa meremang bulu roma dan takutnya kepada
seksaan ALLAH.
Wanita senang masuk syurga, mudah juga melangkah ke neraka!. Subhanallah.
Seseorang hawa itu jika patuh kepada
setiap kata-kata suaminya, tidak meninggalkan suruhan ALLAH, tidak
melakukan kemaksiatan dan pandai menjaga maruah keluarga memudahkannya
menjejak syurga idaman semua. Kerana itulah, dikatakan hikmahnya menjadi
seorang perempuan.
WANITA adalah salah satu makhluk ciptaan
ALLAH SWT yang indah dan berharga. Wanita jugalah sebenarnya yang akan
menjadi pasangan kepada golongan lelaki yang bernama suami. Sebagaimana
ALLAH menciptakan Hawa sebagai pasangan untuk Nabi Adam AS.
Malah beruntunglah bagi seorang lelaki
atau suami, jika dia mempunyai isteri yang solehah sepertimana
didambakan, pastinya akan menghiasi syurga dalam rumah tangga. Namun
begitu terdapat hadis Nabi yang menyatakan bahawa ramai dalam kalangan
wanita yang menghuni neraka ALLAH disebabkan perkara-perkara yang
dilakukannya.
Isteri tidak hormat suami?
Dalam peristiwa solat gerhana matahari,
Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya melaksanakan solat tersebut dalam
tempoh waktu yang panjang.
Rasulullah SAW diperlihatkan oleh ALLAH
keadaan syurga dan neraka. Ketika Baginda SAW melihat neraka, maka
Baginda SAW bersabda kepada sahabatnya: “Aku diperlihatkan keadaan
neraka yang mana aku tidak pernah melihat pemandangan seperti ini, aku
melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kaum wanita. Lalu
para sahabat bertanya: “Mengapa berlakunya perkara sedemikian wahai
Rasulullah SAW?”
Baginda SAW bersabda: “Ia disebabkan oleh kekufuran yang telah dilakukan oleh mereka.”
Kemudian sahabat bertanya lagi: “Adakah mereka kufur kepada ALLAH?”
Baginda SAW menjawab: “Mereka kufur
terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya.
Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka
selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang
tidak dia sukai) pasti dia akan berkata: ‘Aku tidak pernah melihat
sedikit pun kebaikan yang ada pada dirimu.’ ” (Riwayat Bukhari)
Eksekutif Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal
Ehwal Islam dan Penerbitan al-Quran, Kumpulan Media Karangkraf, Mohamad
Amiro Safwan Mohd Kamil berkata, merujuk kepada hadis tersebut, Nabi SAW
menyatakan kepada kita bahawa ramai penghuni neraka terdiri dalam
kalangan wanita.
“Sebab utamanya ialah, kebanyakan wanita
atau isteri yang mengingkari perintah suami. Ini termasuklah derhaka
kepada suami, tidak mengikut dan menurut perintah suami, serta
meninggikan suara ketika berbicara dengan suami. Perkara-perkara
sedemikian sebenarnya yang menyumbang dan menempah tiket untuk ke
neraka. Mungkin perkara ini telah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat
kita tanpa kita sedari.
“Sebagai contoh, apabila seorang wanita
mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sesuatu organisasi, pendapatan
jauh lebih lumayan daripada suami sedangkan suami hanya pekerja am biasa
serta mempunyai gaji yang cukup-cukup makan sahaja, maka segalanya akan
lebih terbeban pada wanita atau isteri. Bil-bil, sewa rumah, kereta,
perbelanjaan harian serta anak-anak semuanya banyak ditanggung isteri
berbanding suami,” katanya kepada Rehal.
Menurutnya, di sinilah penghormatan
kepada suami akan berkurangan, jika timbul perselisihan faham, isteri
akan mengungkit apa yang telah dilakukannya dengan meninggikan suara
terhadap suami. Paling teruk pula apabila menceritakan perihal dan
keaiban suami kepada mereka yang tidak sepatutnya mengetahui perihal
rumah tangga kita.
Mudahnya wanita ke syurga
Sebenarnya, bagi wanita yang menjadi
isteri hanya empat syarat untuk mereka ke syurga. Sebagaimana hadis
daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila seorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa di
bulan Ramadan, menjaga kehormatan serta taat kepada suami, maka dia akan
diberi pilihan oleh ALLAH untuk masuk ke dalam syurga melalui mana-mana
pintu yang dia sukai.” (Riwayat Ahmad)
“Wanita atau isteri hanya boleh
mengingkari perintah suami apabila suruhan tersebut membawa kepada
keburukan, kejahatan, bahaya atau maksiat kepada ALLAH. Suruhan ini sama
sekali tidak wajib dipatuhi oleh isteri dan tidak berdosa jika tidak
melakukannya. Sebagai contoh suami yang pemalas, menyuruh isterinya
mencuri atau merompak dan lebih malang menjual diri bagi mendapatkan
kewangan untuk hidup.
“Apabila seorang suami melarang
isterinya menunaikan solat dan membuka aurat sedangkan suruhan solat
serta menutup aurat ini adalah perintah wajib daripada ALLAH. Suami
sebegini dilihat dayus dan tidak ada tempat untuknya di syurga ALLAH
jika tidak segera bertaubat,” kata Ustaz Amiro lagi.
Menurutnya, sekiranya perintah suami itu
membawa ketaatan kepada ALLAH pastinya wajib untuk isteri
melaksanakannya walaupun dalam keadaan terpaksa.
Apabila kita menyingkapkan ayat al-Quran
terdapat ayat yang menceritakan mengenai kisah wanita yang kufur kepada
suami mereka sedangkan suaminya beriman kepada ALLAH.
Juga terdapat wanita yang beriman kepada
ALLAH di saat suaminya pula yang kufur kepada ALLAH dan Dia berfirman:
“ALLAH mengemukakan satu perbandingan (yang menyatakan tidak ada
manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang
mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu:
perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di
bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang
sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat
kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat
Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka
dari (azab) ALLAH, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada
hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama
orang-orang yang masuk (ke situ)”.
Jelaslah di sini bahawa iman langsung
tidak dapat diwarisi. Walaupun suami seorang yang beriman, bahkan nabi
sekalipun, belum tentu isterinya beriman kepada ALLAH. Sementelah lagi,
jika suami itu tidak beriman kepada ALLAH.
Sirah Nabi ada menyatakan, sejahat dan
sezalim firaun sekalipun, belum tentu isterinya mengikut jejak langkah
suaminya. Itulah aturan ALLAH Maha Bijaksana. Marilah kita berusaha
untuk menjadi seorang suami, isteri atau anak yang soleh agar syurga
ALLAH menjadi milik kita insya-ALLAH. – Sinar Harian Online