PAS Takkan Berjaya Tanpa Pakatan Rakyat - Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang membayangkan PAS tidak akan mencapai kejayaan politik seperti yang dikecapi parti itu pada waktu ini jika tidak bersama Pakatan Rakyat (PR).

Beliau mendakwa, sebelum PR wujud, PAS cuma mendapat sokongan di beberapa negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Malah, dakwa pemimpin veteran DAP itu, pencapaian PAS di empat negeri berkenaan sebenarnya disebabkan krisis politik (pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet) pada tahun 1998.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 PAS menang 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadikan ia parti pembangkang paling besar waktu itu.


“Bagaimanapun, lebih 90 peratus peratus kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi PAS pada waktu itu di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Namun, pada PRU 2004 kerusi Parlimen PAS berkurangan kepada enam kerusi dan 33 kerusi DUN sebelum keadaan kembali berubah pada PRU 2008,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Kit Siang mendakwa, salah satu punca kejayaan PAS memenangi 21 kerusi Parlimen dan 85 kerusi DUN pada PRU 2013 termasuk di luar empat negeri berkenaan disebabkan menjadi salah sebuah parti dalam PR.

Beliau mendakwa, kegagalan PAS mempertahankan Kedah pula bukan disebabkan berada dalam PAS, sebaliknya berpunca daripada masalah dalaman parti itu.

Dakwanya, jika sokongan terhadap PAS di negeri-negeri utama Melayu terjejas kerana keanggotaan dalam PR, sudah tentu pencapaiannya di Terengganu tidak akan meningkat.

Oleh itu, katanya, PAS perlu terus berada dalam PR jika berhasrat mencatat kejayaan politik di negeri lain.

“Jika PAS hendak terus berkembang di luar empat negeri utara itu, ia perlu bekerjasama dalam konteks PR untuk meningkatkan sokongan Melayu dan juga bukan-Melayu.

“Manakala di negeri-negeri utara terbabit, PAS sendiri perlu memperkukuhkan parti di peringkat dalaman,” dakwanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyokong kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu baru-baru ini bahawa penguasaan parti itu tidak lebih daripada Kelantan dan Terengganu jika tidak berada dalam PR.

Muktamar Dewan Ulama PAS pada 21 November lalu menerima usul yang mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pusat PAS bagi mewujudkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji dan menyemak kerjasama politik dalam PR sama ada kerjasama itu merugikan PAS.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu pada sesi penggulungan Muktamar PAS Ke-59 pada 24 November lalu menegaskan PAS perlu lebih mempercayai rakan-rakan PR dan terus berpegang kepada tahaluf siyasi PR yang telah banyak membuahkan kejayaan politik buat parti itu. -MNH