UMNO Alu-Alukan Muzarakah Bersama PAS

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Umno bersifat terbuka berhubung kesediaan Pas bermuzakarah dengan parti itu mengenai hal ehwal pentadbiran Islam di negara ini.

"Kita terbuka tetapi kita nak tengok apa skopnya dan kita nak minta penjelasan lanjut daripada pihak Pas," kata Perdana Menteri yang juga Presiden Umno kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 29 anggota Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.


Sementara itu di IPOH, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang diperkatakan Abdul Hadi adalah satu langkah yang telah didendangkan sekian lama namun masih belum terlaksana.

“Secara peribadi ia (bermuzakarah) adalah langkah baik dan harus dilihat dengan roh atau semangat ikhlas yang dibuat beliau (Abdul Hadi) dan kepimpinan Pas.

“Perkara itu bukan satu tawaran hanya kepada Umno atau BN umumnya, tetapi juga kepada kumpulan ulama, cendekiawan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tanpa mengenepikan agama lain.

“Apabila kita mahu fokus dalam memperjuangkan Islam, kita harus tahu bahawa agama lain harus dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berharap perundingan tersebut jangan ditangguhkan dan beliau meminta semua pihak harus terbuka untuk menerima baik cadangan yang dibuat Presiden Pas tersebut.

Pada ucapan penggulungan Muktamar Agung Pas ke-59 yang diadakan di Shah Alam, kelmarin, Abdul Hadi menyuarakan hasrat untuk muzakarah dengan Umno dalam isu pelaksanaan Islam berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Abdul Hadi berkata, jika Umno mahu melaksanakan Islam dengan bersungguh-sungguh mereka bersedia bermuzakarah bersama parti berkenaan.