Sudah puas mengutuk
Kerajaan ekoran kenaikan harga tol? Belum puas? Silalah kutuk lagi
kerana saya yakin pihak Kerajaan takkan dapat menutup mulut kita dari
terus mengutuk mereka. Apatah lagi berkenaan kenaikan kadar tol di
bandar-bandar yang dikatakan bertentangan dengan manifesto BN pada PRU13
yang lalu.
Sejak diumumkan tentang kenaikan sedikit
kadar tol, ramai yang kononnya tertekan bangkit menghentam Kerajaan.
Yang kononnya menyokong dan berada di bangku kerajaan pun turut seirama
dengan pihak pembangkang yang siang malam menyebut tentang isu kenaikan
kadar tol.
Ditokok tambah bagi menyedapkan “perisa”,
disebut juga berkenaan kenaikan harga petrol yang mendominokan kenaikan
harga barangan lain, harga gula, kenaikan kadar tarif elektrik, tiket
LRT dan sebagainya. Meriah sungguh mereka menghentam kerajaan.
Ada yang mengatakan kerajaan tidak
prihatin, mungkin janji dan tidak cakap serupa bikin. Ada yang mengecam
menuduh kerajaan zalim dan menekan hidup rakyat. Ada pula yang berhujah
mengatakan TNB dan PLUS untung besar dan tidak wajar menaikkan kadar
elektrik dan tol.
Golongan muda kata, tindakan kerajaan
menaikkan kos sara hidup itu menekan mereka. Mereka tertekan nak kahwin,
beli kereta dan beli rumah. Pada mereka, mungkin semua kenaikan itu
akan menyebabkan mereka tidak mampu kahwin, beli kenderaan dan memiliki
rumah nanti…
Kesimpulan dari kutukan terhadap kerajaan
itu, mereka yang tidak berpuas hati mendakwa bahawa kos sara hidup
mereka telah naik mendadak dan hidup mereka tertekan ekoran tersebut.
Jadi, pada 31 Disember 2013 nanti mereka nak adakan himpunan bantahan di
ibu negara. Maka kita bolehlah tengok pihak pembangkang dan “so called”
penyokong kerajaan sama-sama berdemo nanti, kan?
Baiklah. Saya tidak mampu menafikan
bahawa isu ini memberi kesan pada kehidupan saya. Kalau dulu saya boleh
menonton wayang di pawagam, mungkin sekarang tidak lagi. Kalau dulu saya
boleh merokok, mungkin sekarang saya perlu berhenti. Kalau dulu saya
mampu makan di restoran besar dan minum di coffee house mahal, mungkin
saya sekarang saya perlu berubah makan di rumah dan “ngeteh” di rumah
saja bersama rakan atau keluarga…
Kalau dulu saya memandu 100 kmh di jalan
biasa, sekarang saya perlu memandu 60-80 kmh sejam mengikut had laju
yang ditetapkan. Kalau sebelum ini saya memecut 140 kmh di lebuhraya,
sekarang saya perlu memandu di bawah 110 kmh sahaja. Bukan apa, saya
boleh jimat kos petrol dan kurangkan kadar kemalangan…
Kalau dulu saya buka “aircond” di rumah
24 jam, mungkin sekarang hanya sekitar 5-6 jam sahaja sehari. Kalau dulu
saya boleh biarkan saja lampu bilik, bilik air, kipas, televisyen dan
sebagainya terbuka tanpa digunakan, kini tidak boleh lagi.
Kalau dulu saya boleh “cuti-cuti satu
Malaysia” 3-4 kali setahun, mungkin kini saya perlu hadkan hanya 1-2
kali sahaja. Kalau dulu saya agak boros berbelanja mengikut kehendak,
mungkin sekarang saya perlu mengutamakan keperluan terlebih dahulu
berbanding kehendak nafsu…
Saya tersenyum sinis melihat anak muda
membantah isu kenaikan kos sara hidup ini. Mereka berseluar jeans Levis,
bajunya berjenama terkenal, kasutnya kulit tulen, dijari ada cincin
besar batunya dihiasi sebatang rokok terselit, rambutnya tercacak ke
atas keras dan kemudian boleh pula “pekena” kopi Starbuck selesai
berdemo membantah kenaikan kos sara hidup. Penat kot…
Cara hidup mereka diserikan dengan 2 buah
telefon bimbit pintar siap pakej berinternet, seminggu sekali bawa awek
keluar berdating di SOGO (mungkin sambil berdemo), wayang sudah menjadi
acara wajib, tidak kisah membayar sekitar RM10 ke atas di KFC yang
kenyangnya hanya untuk seorang…
Itu belum lagi disebut tentang motorsikal
Yamaha 125Z, Kriss-Kriss tak mainlah! Ada duit PTPTN, mereka berkonvoi
“cuti-cuti” bila cuti semester dan menginap di hotel. Kalau yang
berkereta Myvi, mahu di”convert” jadi Passo, dan kalau pakai Wira atau
Saga, dihabiskan wang pula menjadikannya “Evo”! Hebat!
Kalau dilihat dari sudut asas, kalau
begitulah cara kehidupan mereka, rasanya diberi gaji RM10,000 sebulan
pun tidak cukup. Kalau gajinya RM1,500 sebulan, mereka pakai Yamaha 125Z
dan mungkin jika gaji mereka RM10,000 maka mereka berkereta mewah
memecut laju di lebuhraya, bukan? Rugilah kereta mahal dipandu 110 kmh
saja, mungkin itu cara otak “bijak” mereka berfikir…
Pada saya, kenaikan kos sara hidup itu
pada asasnya sangat berhikmah jika dirujuk pada konsep Islam. Islam
suruh kita berjimat dan bersederhana. Selama ini mungkin kita terlalu
leka dengan pelbagai kehendak nafsu dan serakah. Namun kini secara tidak
langsung kita akan berjimat dan berhati-hati bila berbelanja, bukan?
Dengan penjimatan tersebut, bukan saja
kita dapat menabung lebih bagi simpanan masa depan, malah kita mampu
membantu pembangunan ekonomi negara selain melangkah ke arah budaya
tamadun dunia maju. Selain itu, dengan wang yang dijimatkan, maka
bolehlah kita menampung kos sara hidup yang meningkat itu, bukan?
Pentingnya, sila rujuk gaya hidup Islam untuk mengatasi kenaikan kos sara hidup tersebut.
Saya bukanlah menulis bertujuan untuk
membodek kerajaan. Kerajaan telah memerah otak memikirkan yang terbaik
untuk rakyat dan negara. Takkanlah Kerajaan sengaja nak susahkan rakyat?
Saya yakin Kerajaan tak mahu kalah pada PRU ke-14 nanti. Dan kita pula
yang terkesan perlu mencari jalan keluar bagi mengatasi masalah ekoran
kenaikan kos sara hidup itu.
Masalahnya, segelintir rakyat di negara
kita memang suka jadi “batu api” dan ada pula yang suka “menyimbah
petrol”. Mungkin mereka sengaja buat demikian bagi mencetus kemarahan
rakyat yang mungkin panik dengan perubahan tersebut. Bila “api sudah
marak”, maka mudahlah mereka “Arab Spring”kan Malaysia, bukan?
Saya sebenarnya agak terkilan dengan
segelintir pihak yang kononnya di bangku kerajaan dan “seirama” dengan
pembangkang. Mereka seolah-olah tidak berfikir panjang sebelum
berkata-kata, apatah lagi memberi kenyataan pada media. Harapnya, mereka
memperbetulkan kembali peranan mereka sebagai “penyokong Kerajaan”.
Saya tidak meminta mana-mana pihak untuk
bersetuju dengan pandangan saya. Namun melihat secara positif terhadap
isu kenaikan kos sara hidup ini, saya perlu memikirkan sesuatu tentang
keadaan ekonomi saya. Dan bila saya rujuk pada Islam sebagai rujukan
pertama, terus saya terlihat hikmah di sebaliknya.
Anda bagaimana? Masih mahu terus mengutuk
kerajaan? Silakan kerana saya tidak mampu melarang. Cuma sebelum
mengutuk mana-mana pihak, sila fikirkan dulu soal “dosa” dan “pahala”…
Sumber: Mykmu.net