Seorang lelaki ditahan manakala enam lagi diminta menyerah diri
kepada polis selepas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai
mereka menganjurkan majlis memperingati ulang tahun kelahiran pemimpin
kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) di Kulim, Kedah
Sabtu lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki itu
ditahan pada Isnin lepas di negeri itu dan kini disiasat mengikut
Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948.
Beliau berkata siasatan polis mendapati NGO itu menjemput orang ramai
meraikan ulang tahun mendiang V. Prabhakaran, seorang pengganas dari
Sri Lanka, dan perbuatan itu dilihat cuba mempengaruhi orang ramai
supaya mempercayai kegiatan berunsurkan keganasan.
“Kita lihat ini satu tindakan atau cubaan untuk mempengaruhi
atau menghasut rakyat agar percaya kepada kegiatan keganasan di negara
ini,” katanya selepas menerima sumbangan cek bernilai RM30,000
masyarakat Republik Korea Selatan di negara ini untuk pendidikan
anak-anak polis daripada duta negara itu di Malaysia, Cho Byungjae.
Khalid berkata polis tidak membenarkan sebarang usaha yang mengagung-agungkan keganasan di Malaysia.
“Saya nasihatkan NGO di negara ini supaya tidak menganjurkan sebarang
majlis yang bertujuan menghasut atau mempengaruhi mana-mana kegiatan
pemimpin pengganas,” katanya.
LTTE melancarkan perang terhadap kerajaan Sri Lanka selama hampir 26
tahun bagi menuntut negara berasingan untuk kaum Tamil di utara negara
itu dan pada 2009, gerakan itu dipatahkan oleh tentera Sri Lanka, dan
Prabhakaran terbunuh dalam pertempuran itu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai permohonan PDRM untuk
memperluas kawasan penguatkuasaannya yang meliputi lingkungan 5 batu
nautika kawasan perairan negara, Khalid berkata ia perlu untuk
memudahkan polis melakukan penangkapan dan melaksanakan langkah
penguatkuasaan.
“Memang kita memerlukan bot-bot Marin kita untuk jalankan rondaan di
kawasan itu kerana banyak isu di kawasan pantai perairan negara yang
memerlukan polis untuk menjalankan penguatkuasan seperti kes jenayah
termasuk mengebom ikan.
“Kita tunggu keputusan kerajaan dan harap ia berpihak kepada kita,” kata Khalid.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata kawasan itu kini berada di bawah penguatkuasaan Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas agensi itu mengambil alih
peranan Polis Marin dalam kawasan lingkungan 12 batu nautika perairan
negara pada 2011.
Menurutnya permohonan itu bukan untuk mengetepikan peranan APMM
sebaliknya bertujuan memudahkan polis melakukan penangkapan dan
melaksanakan langkah penguatkuasaan di kawasan 5 batu nautika perairan
negara.