Seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi swasta di Masjid
Tanah di sini bertindak membuang bayi yang dilahirkannya awal hari ini
ke luar tandas bagi mengelak dikesan ahli keluarganya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah
berkata mayat bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemui di luar tandas
rumah ibu saudara pelajar berusia 18 tahun itu di Batang Tiga Tanjung
Kling di sini, kira-kira 1.00 pagi.
Beliau berkata sebelum kejadian, pelajar terbabit yang bercuti di
rumah ibu saudaranya itu masuk ke dalam tandas dan tidak keluar selepas
hampir sejam sehingga menimbulkan kecurigaan.
“Makcik pelajar itu kemudian bertindak masuk ke dalam bilik
air sebelum melihat banyak darah di lantai namun pelajar itu memaklumkan
yang dia mengalami buasir,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Raja Shahrom berkata ibu saudara pelajar terbabit yang berusia 60
tahun kemudian bertindak membawanya ke Hospital Melaka untuk mendapatkan
rawatan.
Raja Shahrom berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar
terbabit mengalami pendarahan disebabkan melahirkan anak sebelum laporan
polis dibuat pihak hospital terbabit kira-kira 12 tengah malam.
Beliau berkata polis kemudian bertindak melakukan pemeriksaan di
rumah itu sebelum menemui mayat bayi tersebut di luar tandas rumah
berkenaan.
Katanya siasatan awal polis mendapati bayi tersebut dipercayai
dibuang melalui ruang udara di bahagian bumbung tandas selepas
dilahirkan.
Mayat bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah
siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana
membunuh.
“Kita sedang menyiasat sama ada bayi tersebut masih hidup atau tidak
selepas dilahirkan dan pelajar terbabit akan ditahan bagi membantu
siasatan sebaik menerima rawatan,” katanya. – BERNAMA