Bekas Ketua PKR Gesa Kerajaan Beri Lesen Judi Pada Melayu

APA kena dengan Datuk Zaid Ibrahim ni? Di lama blognya, Zaid memberi cadangan supaya lesen mengendalikan kasino turut diberikan kepada peniaga Melayu yang berminat menguruskan industri yang bernilai berbilion ringgit itu.

Beliau membuat cadangan itu dalam entri terbaru di blog beliau bertarikh 20 Disember lepas bertajuk ‘Berikan Lesen Kasino Kepada Melayu’ dengan tujuan supaya kekayaan besar dari industri perjudian dapat diagihkan sama rata.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata untuk menjadikan perniagaan lebih sukar dalam perniagaan kasino untuk orang Melayu, ialah menghadkannya dengan meletakkan isu pada kehalalan perniagaan seperti itu.

“Bertahun lamanya, saya memperkenalkan polisi perjudian yang lebih adil dengan mengatakan orang Melayu juga patut diberikan peluang menyertai industri besar ini. Saya bantah monopoli dalam indsurti perjudian, kerana di Malaysia industri ini sangat unik,” kata Zaid dalam entrinya.

BlogZaidIbrahim

Beliau berkata, jika Islam adalah sebab sebenar orang Melayu dihalang dari menjalankan industri perjudian, kerajaan sepatutnya mengharamkan terus industri itu di negara ini.

Industri perjudian berbentuk kasino di Malaysia dimonopoli oleh syarikat Kumpulan Genting yang bermula dahulu sebagai sebuah perniagaan keluarga oleh mendiang Tan Sri Lim Goh Tong dan kini dikendalikan oleh anak keduanya, Tan Sri Lim Kok Thay.

Kumpulan Genting mengendalikan kasino terbesar di negara ini di Resorts World Genting, di Genting Highlands, yang menyumbangkan kira-kira RM1.2 bilion dalam bentuk cukai kepada kerajaan.

Zaid berkata, jika berjudi adalah satu dosa besar bagi umat Islam maka keputusan kerajaan untuk memberikan peluang kepada orang bukan Islam memonopoli industri perjudian adalah dosa yang lebih besar.

“Kenapa kerajaan menafikan peluang menguruskan indusrti perjudian seperti ini jika mereka bersedia untuk menanggung dosa di atas bahu mereka sendiri?

“Peniaga Melayu ini sudah pasti boleh menderma dengan banyak dan membantu ekonomi masyarakat Islam,” katanya.

Satu kenyataan melampau Zaid ialah, untuk menyokong idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam liberalisasi ekonomi, peniaga Melayu juga perlu diberikan kebebasan daripada hanya menguruskan perniagaan yang halal sahaja, yang tidak semestinya dipersetujui oleh Tuhan.

Zaid menggesa Perdana Menteri memulakan langkah pertama membenarkan Melayu mengambil bahagian dalam perniagaan menguntungkan itu, iaitu perjudian dengan membuka kasino kedua Malaysia di dalam kawasan Iskandar Johor, yang berjiran dengan Singapura.