BIASISWA: Berita Baik Untuk Orang Kedah..!


BANDAR BAHARU - Kerajaan negeri bersetuju memberikan kelonggaran kepada para penduduk sekitar daerah ini yang lahir di negeri Perak atau Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan pendidikan daripada Lembaga Biasiswa dan Pinjaman Negeri Kedah (LBPNK).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, kelonggaran tersebut diberikan ekoran masalah status taraf anak negeri dalam kalangan penduduk kawasan itu yang dilahirkan di luar Kedah.

Beliau berkata, bagaimanapun mereka yang terlibat dikenakan syarat tambahan iaitu kedua-dua ibu bapa pemohon mesti dilahirkan di Kedah dan mendapat pengesahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu.

"Sebelum ini ramai anak negeri Kedah dilahirkan di Perak atau Pulau Pinang akibat ketiadaan kemudahan bersalin di kawasan Bandar Baharu. Berikutan itu, mereka secara automatik tidak layak mendapat biasiswa negeri Kedah meskipun memperoleh keputusan cemerlang.

"Kerajaan negeri amat memahami masalah ini dan kita bersetuju memberikan kelonggaran kepada mereka terlibat selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan beg sekolah sumbangan Pejabat ADUN Bandar Baharu kepada 90 murid di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Taka di sini semalam.

Norsabrina berkata, dengan kelonggaran itu, beliau berharap pelajar cemerlang di daerah Bandar Baharu akan menggunakan kesempatan terbabit untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.

Tambah beliau, kerajaan negeri dan Pusat turut bekerjasama untuk memastikan pembinaan sebuah hospital di daerah Bandar Baharu disegerakan sekali gus mengatasi masalah status kelahiran dalam kalangan penduduk. -Utusan