Abu Hurairah r.a berkata, "Sekiranya kamu melihat
keadaan kami dahulu, sebahagian daripada kami tidak mempunyai makanan
buat beberapa waktu walaupun hanya untuk menegakkan tulang belakang.
Disebabkan kelaparan, kadang-kadang saya menekan dada ke bumi dan
kadang-kadang saya meniarap dengan meletakkan segala kekuatan ke perut
dan kadang-kadang saya mengikat batu pada perut."
Pada suatu
hari saya duduk di jalan yang biasa dilalui oleh para sahabat yang
besar. Hazrat Abu Bakar r.a telah lalu. saya mula bertanya sesuatu
kepada beliau dengan harapan beliau akan terus melayan percakapan saya
dan terus membawa saya ke rumah.
Kemudian seperti biasa beliau akan
melayan saya dengan menghidangkan apa-apa makanan yang ada di dalam
rumah. Namun demikian, beliau tidak melakukan seperti itu (mungkin
kerana tidak terlintas di hati beliau atau kerana telah diketahui
keadaan di rumahnya juga yang tidak mempunyai apa-apa).
Selepas itu Hazrat 'Umar r.a pula yang lalu. Bersama beliau pun
keadaan yang sama telah berlaku. Kemudian Rasulullah s.a.w yang lalu.
Melihatkan saya, Baginda s.a.w pun tersenyum. Baginda s.a.w telah
memahami keadaan dan tujuan saya. Baginda s.a.w berkata, "Abu Hurairah,
ikutlah bersama saya."
Lalu saya pun terus bersama Baginda
s.a.w. Baginda telah pulang ke rumah. Di dalam rumah terdapat satu
mangkuk susu yang telah dihantarkan kepada Baginda s.a.w. Baginda
bertanya. "Dari manakah susu ini?"
Telah dijawab, "Dari tempat sekian untuk Rasulullah sebagai hadiah."
Kemudian Baginda s.a.w bersabda, "Abu Hurairah, pergilah panggil ahlussuffah dan bawa mereka ke mari."
Ahlussuffah dikira
sebagai tetamu Islam. Mereka ialah orang-orang yang tidak mempunyai
rumah dan tidak mempunyai tempat tinggal dan tidak ada pengurusan
makanan yang tetap untuk mereka.
Bilangan mereka tidak menentu mengikut
masa. Namun, pada masa kisah ini berlaku jumlah mereka ialah tujuh puluh orang.
Menjadi kebiasaaan Rasulullah s.a.w juga bahawa mereka dipasangkan
berdua-dua atau berempat-empat dan dijadikan tetamu kepada para sahabat
yang agak kaya.
Sekiranya terdapat pemberian sedekah dari mana-mana
maka akan dihantar kepada mereka tetapi Baginda s.a.w sendiri tidak
akan menyertai mereka. Sekiranya terdapat pemberian hadiah dari
mana-mana maka Rasulullah sendiri akan bersama mereka.
Rasulullah
s.a.w telah memerintah agar memanggil mereka. Hati saya terasa berat
memikirkan jumlah susu itu. Banyak mana sangat untuk membolehkan saya
menjemput mereka semua.
Bagaimana mungkin untuk setiap orang? Sedangkan susu itu tidak mencukupi untuk satu orang pun.
Selepas mereka dijemput, sayalah yang akan diperintahkan untuk memberi
mereka minum.
Oleh kerana itu, saya akan menjadi orang terakhir minum
dan sudah tentu susu itu tidak akan tinggal sedikit pun. Namun demikian, apakah ada jalan lain selain mentaati Nabi s.a.w?
Saya telah pergi dan menjemput kesemua mereka. Rasulullah s.a.w bersabda, "Nah ambil, berilah mereka minum."
Saya
mengambil mangkuk itu dan menyerahkan kepada seorang demi seorang
daripada mereka dan setiap orang akan minum sepuas-puasnya kemudian
barulah dikembalikan mangkuk itu kepada saya. Demikianlah saya telah
memberi minum kepada mereka semua dan kesemua mereka telah minum dengan
puas.
Kemudian Rasulullah mengambil mangkuk tadi lalu memegang
mangkuk itu dengan tangan Baginda sambil memandang kepada saya dengan
tersenyum. Baginda s.a.w berkata, "Sekarang hanya tinggal kamu dan saya
sahaja."
Saya menjawab, "Begitulah."
Baginda mengarahkan,
"Ambil dan minumlah." Saya pun mula minum. Baginda s.a.w mengarah
lagi, "Minumlah lagi." Saya pun minum lagi.
Akhirnya saya berkata
kepada Baginda "Sekarang saya tidak boleh minum lagi." Selepas itu
Rasulullah menghabiskan susu yang masih tinggal itu.