NAMA penuh Imam Ibnu al-Jazari ialah Muhamad bin Muhammad bin
Muhammad Ibn Ali Ibnu Yusuf al-Jazari. Beliau dilahirkan di Damsyik pada
751 Hijrah. Ayahnya amat mengambil berat tentang pendidikan agamanya
dan mula memberi pendidikan sejak kecil lagi.
Pada usia 13 tahun, beliau telah berjaya menghafaz seluruh al-Quran.
Seterusnya beliau mendalami ilmu syariat, ilmu lughah dan mendalaminya
daripada beberapa tokoh ulama tersohor ketika itu. Begitu pun Imam Ibnu
al-Jazari lebih cenderung mendalami ilmu Qiraat dan masyhur dengan
sumbanganya dalam ilmu tersebut.
Menyelusuri guru-guru yang pernah Ibnu al-Jazari bertalaqqi sudah
pasti akan terjawab kenapakah beliau menjadi amat masyhur sehingga ke
hari ini. Di Damsyik, Ibnu al-Jazari bertalaqqi dengan beberapa guru
yang terkenal. Antaranya ialah Syeikh Abu Muhammad Abdul Wahhab ibn
al-Sallar, Syeikh Ibrahim al-Humawi, Abi al-Muali Muhammad Ibnu Ahmad
al-Lubban.
Pada 768 Hijrah, Ibnu al-Jazari pergi ke Mekah bagi menunaikan haji.
Ketika berziarah di Madinah, Ibnu al-Jazari telah berjumpa dengan Imam
Masjid Nabi iaitu Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib dan
bertalaqqi denganya.
Pada tahun berikutnya, Ibnu al-Jazari pergi ke
Mesir dan mendalami ilmu Qiraat dengan guru-guru yang masyhur di sana.
Antaranya ialah Syeikh Abi Bakr Abdullah al-Jundi, Abi Abdillah Muhammad
Ibnu al-Saigh dan Abi Muhammad Abdul Rahman Ibnu al-Baghdadi.
Ibnu al-Saigh dan Ibnu al-Baghdadi mengajar kepada Ibnu al-Jazari
kitab-kitab Qiraat seperti al-âUnwan, al-Taisir dan al-Syatibiyyah.
Selepas khatam dengan dua guru yang hebat ini, beliau kembali ke
Damsyik. Kali kedua ke Mesir, Ibnu al-Jazari masih mendalami Qiraat
dengan Ibnu al-Saigh menerusi beberapa kitab lain seperti al-Mustanir,
al-Tazkirah, al-Irsyadain dan al-Tajrid.
Manakala melalui gurunya, Ibnu
al-Baghdadi, Ibn al-Jazari mendalami Qiraat 14 kecuali al-Yazidi.
Sememangnya, Mesir kaya dengan ilmu Qiraat. Ramai ulama yang mahir
dan menguasai ilmu tersebut dengan cara talaqqi dan musyafahah daripada
ulama terdahulu dan bersambung sanad hingga Rasulullah SAW.
Sebab berkembangnya Qiraat di Mesir ialah usaha dan sumbangan besar
yang dilakukan Imam Syatibiy yang mewariskan kitabnya, al-Syatibiyyah
kepada segologan muridnya yang menjadi ulama. Mereka aktif dalam
pengajaran dan secara langsung kitabnya itu terus menjadi rujukan
sehingga ke hari ini.
Kali ketiga Ibnu al-Jazari ke Mesir, beliau membaca beberapa kitab
Qiraat yang lain seperti al-Iâlan kepada gurunya, Syeikh Abdul Wahhab
al-Qurawi dan beberapa guru yang lain.
Selain Qiraat, Ibnu al-Jazari
juga mendalami ilmu fikah. Beliau mendapat ijazah untuk berfatwa
daripada gurunya, Abu al-Fida Ismail ibnu Kathir iaitu pada 774 Hijrah.
Syeikh al-Islam al-Bulqini juga memberikan ijazah kepada Ibnu al-Jazari
iaitu pada 785 Hijrah. -Utusan