SATU aspek sangat baik dicontohi
daripada akhlak Rasulullah SAW ialah kehidupan berkeluarga memandangkan
masyarakat hari ini yang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti
perceraian suami isteri, sumbang mahram serta penderaan.
Sebagai manusia biasa Rasulullah SAW pernah menjadi anak, suami,
bapa, mentua dan datuk. Baginda SAW menunjukkan contoh terbaik dalam
memenuhi setiap tanggungjawab yang boleh diikuti semua ahli keluarga.
Firman
Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW
itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin
mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia
pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan
senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Sebagai suami, Baginda SAW begitu
menghargai isterinya dengan menunjukkan sifat mulia seperti kasih
sayang, bertimbang rasa, hormat serta sabar tanpa pernah sekalipun
mengasari mereka bahkan menghadapi kerenah isteri dengan penuh
pengertian dan kemaafan.
Baginda SAW juga tidak keberatan
membantu melakukan kerja rumah. Ibnu Hajar pernah berkata bahawa Aisyah
meriwayatkan katanya: “Baginda SAW (nabi) yang menjahit kainnya,
menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di
rumah mereka.” (Hadis riwayat Ahmad Ibnu Hibban)
Sikap baik Rasulullah SAW terhadap
isteri ini diakui sendiri oleh isteri Baginda SAW Aisyah yang
meriwayatkan: “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan
pembantunya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila hendak memulakan suatu
perjalanan, Baginda SAW akan memastikan tempat duduk isterinya di atas
unta dalam keadaan selesa dan Anas pernah mengatakan bahawa Baginda SAW
akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk
naik ke atas unta.
Dalam kehidupan berpoligami juga,
Baginda SAW adalah contoh terbaik melaksanakan prinsip keadilan walaupun
tidak dapat dinafikan bahawa perasaan kasih sayang tidak boleh
dibahagikan sama rata.
Namun, sebagai suami seboleh-bolehnya
mestilah pandai memainkan peranan supaya jangan ada di kalangan isteri
yang tersinggung lantaran sikap suami yang pilih kasih.
Pernah berlaku dalam rumah tangga
Rasulullah SAW, suatu hari isteri-isteri Baginda SAW datang menemui
Baginda SAW, Aishah yang mewakili mereka terus bertanya, “Wahai
Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah paling
Rasulullah sayangi? Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu.
Baginda SAW tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda SAW menyuruh semua
isterinya pulang dulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.
Selepas itu, seperti biasa Rasulullah
SAW bermalam di rumah isteri-isteri Baginda SAW mengikut giliran dan
sebelum Baginda SAW meninggalkan rumah isterinya, setiap seorang
dihadiahkan cincin dan berpesan supaya tidak memberitahu hal itu kepada
isteri yang lain.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruh
isteri-isteri Baginda SAW berkumpul kerana Baginda SAW hendak memberi
jawapan kepada persoalan dikemukakan. Rasulullah SAW berkata, “Isteri
yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka
tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka
bahawa dia saja yang menerima cincin itu.
Rasulullah SAW adalah bapa penyayang.
Acap kali apabila Baginda SAW melihat Fatimah masuk ke rumahnya, Baginda
SAW terus menyambut dan berdiri, kemudian mencium kepala dan tangan.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah
SAW apakah sebab Baginda SAW amat sayang kepada Fatimah. Baginda SAW
menegaskan, “Wahai Aisyah, jika engkau tahu apa yang aku ketahui
mengenai Fatimah nescaya engkau akan mencintainya seperti aku
mencintainya. Fatimah adalah darah dagingku. Ia tumpah darahku. Sesiapa
yang membencinya, maka ia membenciku, dan sesiapa yang membahagiakannya,
maka ia telah membahagiakanku.”
Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW
mengatakan bahawa Fatimah adalah orang yang paling mirip dengan
Rasulullah dalam ucapan dan fikirannya. Selaku anak, Fatimah mencintai
ayahandanya lebih daripada cintanya kepada sesiapa pun.
Selepas ibunya Khadijah meninggal dunia,
dia yang baru berusia enam tahun yang merawat Rasulullah SAW. Beliau
sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya.
Justeru, Rasulullah memanggilnya dengan
jolokan Ummu Abiha, iaitu ibu bagi ayahnya, kerana kasih sayang dan
pengorbanan mulia yang dicurahkan kepada ayahandanya.
Memiliki sebuah keluarga harmoni
memerlukan ikatan yang mesra bukan saja dengan anak dan isteri, malah
menantu juga. Demikianlah ditunjukkan Rasulullah SAW. Contoh paling baik
ialah melalui kehidupan Ali sebagai menantu Baginda SAW.
Ali ra. sebagai menantu Rasulullah SAW
turut sama menyingsing lengan membantu Fatimah menggiling tepung di
dapur. Usaha sekecil itu, di celah kesibukan sudah cukup bermakna dalam
mengambil hati seorang isteri yang saban hari bertungkus-lumus
menguruskan rumah tangga.
Bukan Sayidina Ali ra. tidak mahu
menyediakan pembantu untuk isterinya itu, namun beliau tidak mampu
berbuat demikian. Fatimah ra. amat memahami keadaan suaminya dan beliau
sentiasa berusaha membahagiakan suaminya.
Contoh kasih sayang datuk terhadap
cucunya boleh dilihat daripada cara Baginda SAW melayani kedua-dua cucu
kesayangan iaitu Hassan dan Hussin, anak Siti Fatimah ra. dan suaminya
Saidina Ali ra..
Rasulullah SAW bukan saja sentiasa
membelai dan mencium kedua cucunya itu, malah apabila cucu Baginda SAW
menghampiri Baginda SAW , Baginda SAW terus mendukungnya. Baginda SAW
juga apabila keluar rumah, selalu membawa cucunya bersama.
Baginda SAW selalu meriba mereka. Pernah
ketika Baginda SAW sedang sujud dalam solat, cucu Baginda SAW duduk di
atas belakang Baginda SAW sehinggakan Baginda SAW sujud agak lama.
Baginda SAW juga selalu bermain kuda-kuda dengan cucunya.