Ditawar RM300,000..???


Bekas pembantu peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yuktes Vijay mendakwa beliau ditawarkan wang tunai RM300,000 agar tidak membantu peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dalam rayuan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang itu.
 
Dakwanya, tawaran tersebut dibuat melalui orang tengah di tempat letak kereta di Kelab Selangor, dipercayai ada kaitan dengan kebimbangan pihak tertentu jika beliau membantu Muhammad Shafee berikutan banyak maklumat sulit pasukan peguam bela Anwar masih dalam pengetahuannya.

Yakin dengan pendedahan itu, Yuktes menerusi kenyataannya di portal http://www.anwaraidc.com dengan tajuk 'Pendedahan Eksklusif: Anwar Ibrahim & Kes Liwat II-Yuktes Vijay' mencabar Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

Pada masa yang sama beliau juga mendakwa hubungan antara Anwar dengan bekas peguam belanya, Sankara Nair, kini sedang berdepan dengan masalah menyebabkan peguam terkenal itu tidak mewakili Ketua Pembangkang tersebut dalam kes rayuan liwat kali ini.

"Saya kesal, hubungan dengan manusia baik seperti Sankara yang putus. Mengapa? Kenapa? Apa dah jadi adalah cerita untuk hari lain. (Namun) Dengar khabar juga Anwar dalam proses memujuk Sankara," dakwanya sebagaimana dipetik dari anwaraidc.com hari ini.

Dalam pada itu, Yuktes memberitahu pasukan pendakwaan dalam kes rayuan liwat kali ini mempunyai sembilan asas yang cukup kukuh menyebabkan Anwar dan pasukan peguam belanya cuba melengah-lengahkan kes dengan cara mahu menggugurkan Muhammad Shafee.

Katanya, sembilan asas itu yang menggusarkan Anwar serta pasukan peguam belanya dan adalah tidak benar, dakwaan mengatakan Ketua Pembangkang tersebut kononnya takut dengan kehebatan Muhammad Shafee kerana beliau tidak pernah kalah kepada peguam berkenaan. - Utusan