DUA minggu lalu saya telah menyingkap cerita wanita dan undang-undang
jenayah yang mana saya telah menceritakan tiga kategori wanita yang
terlibat dengan jenayah iaitu wanita yang ditangkap kerana memilik
dadah, ditangkap kerana melakukan pembunuhan atau kecederaan terhadap
penderanya dan Keldai dadah.
Kali ini saya ingin menerangkan dua kategori lagi itu wanita dan kehamilan luar nikah sertaPembuangan bayi.
Isu wanita dan kehamilan luar nikah dalam kalangan orang Islam
bukanlah perkara baru. Di Malaysia bilang wanita/gadis hamil sebelum
nikah meningkat sejak 2000. Tambah menyedihkan, bilangan paling ramai
adalah wanita/gadis beragama Islam.
Islam melarang keras perbuatan zina dan itu adalah satu dosa besar.
Hukuman bagi penzina adalah jelas dalam Islam iaitu direjam atau
dirotan. Di Malaysia oleh kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad
kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak
melebihi RM5,000 atau rotan tidak melebih enam kali sebatan (yang sering
disebut sebagai bidangkuasa 3,5,6 ini), maka penzina boleh dikenakan
hukuman maksimum ini.
Dalam menghukum seorang penzina mahkamah mempunyai budi bicara yang
luas untuk menimbang hukuman yang sesuai mengikut kes. Kebanyakan kes
hamil luar nikah melibatkan gadis belasan tahun antara 13 hingga 21
tahun.
Yang paling ramai ialah antara uumur 15 hingga 19 tahun.
Kehamilan luar nikah kerana wanita/gadis mengadakan hubungan seksual sebelum bernikah yang mengakibatkan mereka mengandung.
Apabila ditanya kenapa mereka melakukan seks sebelum bernikah,
majoriti (80 peratus) menjawab kerana ingin tahu, ingin mencuba dan
suka-suka.
Hampir 50 peratus pula kerana cinta dan desakan pasangan lelaki.
Hanya sejumlah kecil kehamilan luar nikah diakibatkan oleh rogol atau
sumbang mahram.
Kehamilan luar nikah adalah kesalahan jenayah syariah sahaja.
Mengadakan hubungan seks antara lelaki perempuan yang belum berkahwin
tidak dilarang oleh undang-undang sivil kecuali ia dilakukan dengan
gadis berumur bawah 16 tahun.
Di bawah Kanun Keseksaan, perbuatan mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah 16 tahun adalah rogol.
Hari ini walaupun pendakwaan dibuat terhadap mereka yang hamil luar
nikah ini di Mahkamah Syariah namun bilangannya masih kecil jika
dibandingkan dengan kadar atau jumlah kelahiran anak luar nikah.
Jika kajian dibuat terhadap jumlah kelahiran anak luar nikah di
sesebuah negeri, jauh lebih besar daripada jumlah pendakwaan terhadap
penzina.
Antara faktor kurangnya pendakwaan ialah umur penzina wanita
tersebut. Bagi penzina lelaki pula ramai yang didakwa di bawah Kanun
Keseksaan kerana melakukan rogol terhadap gadis bawah 16 tahun.
Kesalahan ini terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam namun yang ramai didakwa adalah orang Islam.
Jika perogol adalah seorang kanak-kanak di bawah 18 tahun, maka
kanak-kanak itu biasanya dijatuhkan hukuman dengan diletakkan di Sekolah
Henry Gurney selama tiga tahun.
Jadi, bagi kesalahan mengandung dan melahirkan anak luar nikah, jika
yang mengandung bawah 16 tahun, kemungkinan besar ia tidak didakwa
kerana perbuatan itu walaupun dilakukan suka sama suka, kerana faktor
umur dan kematangan hanya kepada lelaki yang akan didakwa.
Jika lelaki yang menyebabkan wanita itu mengandung berumur bawah 18
tahun, biasanya ia dihantar ke Henry Gurney. Bagi pesalah dewasa,
hukuman maksimum ialah 20 tahun penjara.
Bagi wanita pula, jika berumur di bawah 16 tahun, mereka dimasukkan
ke pusat pemulihan akhlak dan selepas bersalin, mereka meneruskan
kehidupan.
Kebanyakan mereka menyambung pelajaran dan ramai juga terus berhenti
dan menjalani kehidupan terasing dan diasingkan daripada keluarga.
Tidak kurang juga terus menerus terjerumus ke lembah kehinaan kerana
terlalu malu dan kecewa dan tiada yang dapat membantu.
Anak yang mereka lahirkan diserahkan kepada rumah kebajikan untuk
dijadikan anak angkat. Bagi wanita dewasa, semasa melahirkan anak tanpa
suami, kes mereka boleh dipanjangkan ke pejabat agama untuk siasatan dan
daripada situ pendakwaan yang dibuat oleh pengawai pendakwa melalui
maklumat yang diperoleh daripada pegawai penyiasat agama.
Kebiasaannya hanya wanita sahaja yang dikenakan hukuman kerana dalam
kebanyakan masa anak gadis ini tidak tahu siapa bapa anak itu. Ini
kerana mereka menjalin hubungan dengan ramai lelaki sehingga tidak tahu
siapa yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung.
Jika seorang lelaki dinamakan sebagai orang yang menyebabkan dia
mengandung, lelaki tersebut boleh mengutarakan pelbagai dalihan dan
kemungkinan meminta ujian DNA dibuat untuk menentukan bapa anak.
Ini memakan masa dan wang. Ada juga tidak dapat membawa lelaki yang
menyebabkan dia mengandung kerana tidak kenal dengan lelaki tersebut.
Ada kes yang mana seorang gadis kenal lelaki tidak sampai seminggu
sudah mengadakan hubungan seks beberapa kali. Dia hanya tahu nama lelaki
itu tanpa tahu di mana dia tinggal dan bekerja.
Malah ramai anak gadis hanya tahu nama boyfriend dengan nama timang-timangannya dan bukan nama sebenarnya.
Akhirnya apabila dia mengandung dan mencari lelaki tersebut, dia masih tidak tahu latar belakang lelaki tersebut.
Saya sering mengingatkan anak gadis dalam ceramah-ceramah saya
supaya meminta kad pengenalan lelaki yang baharu dikenali. Ini
memastikan bahawa lelaki itu bukan kasanova atau buaya darat yang sering
mencari mangsa.
Bagi wanita, bukti jelas dia melakukan zina ialah apabila melahirkan
seorang anak dan dia tiada surat nikah yang sah atau dia tidak dapat
membawa ke mahkamah, lelaki yang menyebabkan dia mengandung kerana tidak
tahu siapa lelaki itu atau tidak tahu namanya atau tidak tahu di mana
lelaki itu berada.
Gadis seperti ini ada yang didakwa dan menjalani hukuman penjara sehingga 18 bulan kerana melahirkan anak luar nikah.
Mereka juga perlu disedarkan bahawa perbuatan yang dilakukan adalah
dosa besar dan mereka perlu sedar tentang kesilapan yang telah lakukan.
Jika dipenjara tidak ada proses memberi kesedaran secara Islam, maka
mereka ini akan terus hanyut kerana selepas menjalani hukuman, mereka
tetap mempunyai perasaan marah kepada yang mendakwa dan kepada lelaki
yang meninggalkannya.
Jika dia sedar bawah dia dipenjara kerana kesalahan berzina yang
dilarang Allah SWT tentu dia akan cuba bertaubat dan memperbaiki sahsiah
dan akhlaknya semasa di dalam penjara. Namun, kebanyakan pesalah
seperti ini, hanya boleh bertaubat dan sedar jika ditahan di tempat khas
untuk memulih akhlaknya.
Ada juga gadis yang menjalani hukuman dipenjara bukan kerana
kehamilan luar nikahnya tetapi kerana kesalahan jenayah buang anak. Ini
adalah kesinambungan kesalahan hamil luar nikah. -Utusan