Hadi mahu kerajaan bertegas pada Syiah

Pas menggesa kerajaan supaya tidak menandatangani sebarang persetujuan yang bercanggah dengan Islam melalui sesi pendengaran Proses Semakan Berkala Majlis Hak Asasi Manusia anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan juga mestilah menolak mana-mana cadangan yang bertentangan dengan status quo undang-undang persekutuan mengenai kedudukan agama Islam dalam negara.

"Kerajaan juga perlu menolak sebarang usaha untuk membawa rakyat dalam negara ini untuk mengamalkan gaya hidup bebas songsang yang terbabas daripada tabii kehidupan penciptaan manusia," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas Ke-59, di sini hari ini.

Biar pun tidak menyebut secara terbuka, namun kenyataan Abdul Hadi itu dilihat merujuk kepada tuntutan-tuntutan yang dibuat Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Ma nusia (Comango) kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB dalam isu proses semakan berkala sejagat (UPR) bulan lalu yang antara lain menyentuh hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak untuk murtad bagi orang Islam dan kesamarataan agama.

Comango secara spesifik mendesak Seksyen 377A Kanun Keseksaan berkaitan jenayah liwat dan enakmen-enakmen jenayah syariah yang bertujuan menyekat gejala LGBT, murtad serta penyebaran ajaran Syiah dimansuhkan.

Abdul Hadi menegaskan, walaupun Pas memperjuangkan demokrasi ia bukan bermakna Pas akan luntur cita-cita Islamnya.

"Bahkan Pas akan terus bertegas mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan mengikut tafsirannya yang sebenar dan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan daripada digugat oleh mana-mana pihak," katanya.

Dalam ucapan bertemakan 'Rahmat Untuk Semua' itu, Abdul Hadi menegaskan, perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas bukanlah bersifat retorik dan bukannya sesuatu janji-janji indah yang ingin mengaburi pandangan manusia atau mengelirukan kefahaman.

"Pas bukanlah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bergerak dalam jalur tarbiah, dakwah, siasah mewarisi cita-cita perjuangan yang menjadi tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini yang meletakkan politik menjadi agenda penting yang tidak dipisahkan daripada agama Islam.

"Maka tentulah menjadi satu kesilapan sekiranya menyamakan Pas dengan parti-parti dan kumpulan Islam yang lain," katanya.

Ketika Abdul Hadi diharapkan menyatakan penegasan agar Pas tidak sekadar menjadi pak turut dalam pakatan pembangkang, Presiden Pas itu sebaliknya dalam ucapannya menegaskan,;
"Bagi membawa mesej rahmat untuk semua ini, Pas akan terus menjadi rakan aktif dalam Pakatan Rakyat. 

"Ingatlah bahawa kita bukan penumpang semata-mata, rakan-rakan kita juga bukan penumpang tetapi semua parti-parti dalam pakatan adalah penggerak bersama untuk memperkukuhkan peranan dalam membawa persefahaman politik ini ke tahap yang lebih maju dan seterusnya memikul amanah yang berat ini," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Abdul Hadi mengingatkan ahli-ahli Pas supaya menjadikan kegagalan untuk mempertahankan kerajaan negeri di Kedah sebagai teladan tetapi janganlah sampai melemahkan semangat sehingga melupakan erti sebenar perjuangan.

"Kita wajib bermuhasabah diri sendiri secara mendalam, bukan hanya menjadikan lawan sahaja sebagai penyebab kekalahan kita," katanya.