Tambah menyedihkan, bayi perempuannya, Aathifah Batrisya yang dilahirkan pada 23 Oktober lepas hanya berusia sebulan ketika suaminya dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Kampung Tengah Seberang Pumpong, dekat sini.
Kini, Zalinda Zakaria, 35, tabah membesarkan tiga anaknya dengan hanya bergantung wang ihsan orang ramai kerana suaminya yang hilang di Pulau Redang, Langkawi belum ditemui sehingga kini.
“Saya tidak bekerja, sebaliknya bergantung sepenuhnya pada pendapatan suami sebagai nelayan selama ini untuk menyara kehidupan. Namun, dunia seakan-akan gelap gelita apabila menerima khabar kehilangan dirinya.
“Saya seolah-olah hilang punca dan tempat bergantung apabila suami tidak ditemui sehingga kini, sedangkan anak-anak, Nazirah, 11; Muhammad Nadzir, 7, dan Aathifah, 55 hari masih kecil,” katanya kepada Sinar Harian.
Zalinda berkata, mereka sekeluarga tidak pernah berputus asa dan sentiasa berdoa semoga suaminya ditemui segera tak kita sama ada dalam keadaan selamat ataupun sebaliknya.
“Sekiranya dia sudah tiada di dunia ini, sekurang-kurangnya biarlah jasad suami ditemui segera,” katanya.
Nasib Zalinda sekeluarga mendapat perhatian Setiausaha Politik Ahli Parlimen Alor Setar, Kumara Gurunaidu yang hadir bersama Pembantu khas, Mejar (B) Azizan Tahir; AJK Pas Seberang Pumpong, Shahidan Hashim dan Ketua Pemuda Pas Seberang Pumpong, Mohd Zaki Ishak.
Gurunaidu berkata, mereka sepakat menziarahi dan menyalurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban dialami keluarga terbabit yang kehilangan insan tercinta.
Katanya, bantuan kewangan berkenaan merupakan sumbangan ahli dan masyarakat tempatan dan mendoakan semoga suami Zalinda dijumpai selamat.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh melakukannya melalui akaun Bank Islam 02011021186091 atau hubungi Zalinda di talian 0174605156/0175350826.