Kenapa Kerajaan Perangi Syiah?


Umat Islam di negara ini wajib menolak fahaman Syiah kerana terbukti ia merupakan satu fahaman sesat dan menyeleweng daripada al-Quran serta Sunnah.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi berkata, terdapat beberapa perkara pokok yang menunjukkan fahaman Syiah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar antaranya ia tidak pernah mengiktiraf kesemua sahabat Rasulullah.

Berbanding golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah (sunni) beliau berkata, mereka mengiktiraf kesemua sahabat Rasulullah termasuk Saidina Ali Abi Talib yang bersama-sama berjuang menegakkan agama Allah di bumi ini.

“Puak Syiah hanya menghormati dan mengiktiraf Saidina Ali dan keturunannya manakala sahabat-sahabat besar yang lain langsung tidak diiktiraf.

“Malah, ada di kalangan puak-puak pelampau di dalam Syiah menganggap Saidina Ali adalah mulia sehingga ke peringkat lebih mulia daripada Rasulullah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin di pejabatnya pada 9 September 2011.

Untuk rekod, Sheikh Sulaiman juga adalah pensyarah di Universiti Ummul Qura, Mekah selain memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Pentadbiran Pejabat Dakwah dan Kesedaran Islam di Mekah.

Beliau merupakan pakar dalam fahaman Syiah dan bidang kajiannya ketika mengambil sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) juga berkaitan dengan fahaman itu.

Sheikh Sulaiman berkata, fahaman Syiah juga menganggap al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah boleh berubah dan ada kekurangan.

“Iktikad ini jelas bertentangan dengan Islam kerana al-Quran terpelihara daripada sebarang perubahan serta kekurangan kerana Allah sentiasa memeliharanya. Ini merupakan jaminan Allah dan ia disebut di dalam al-Quran.

“Walau apa pun berlaku, 114 surah di dalam al-Quran daripada al-Fatihah sehingga an-Nas tidak akan berlaku perubahan apatah lagi kekurangan. Ayatnya, kalimah mahu pun hurufnya akan sentiasa terpelihara,,”kata Sheikh Sulaiman.

Beliau berkata, antara penyelewengan lain yang dilakukan oleh Syiah ialah mereka mencipta iktikad akidah yang tiada sandaran.

“Sebagai golongan Sunni kita menjadikan pegangan akidah yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Sunnah sebagai iktikad kerana ia bersumberkan daripada wahyu Allah.

“Berbanding Syiah, iktikad akidah mereka bersandarkan kepada akidah takiah dan akidah raj ah. Akidah takiah boleh dikatakan juga akidah munafik.

Yang paling membahayakan umat Islam apabila Syiah mengamalkan nikah mutaah yang dianggap sebagai zina oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Berdasarkan kenyataan ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi begitu tegas memerangi syiah di negara ini. Ketika menggulung Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lepas, beliau menyebut orang nombor dua dalam PAS menganut fahaman Syiah.

Tetapi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata orang nombor dua dalam PAS ialah Datuk Dr Harun Din dan bukannya beliau. Sikap dolak-dalik Mat Sabu ini mendorong ahli majlis tertinggi Umno, dr Puad Zakarshi mencabar Mat sabu menyaman Zahid Hamidi.

Semalam Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu pernah ‘berselawat’ sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada 2005.

Dalam kenyataan yang dibacakan semalam, Rahim berkata maklumat itu hasil dari temuramah antara pegawai KDN Zamihan Mat Zin bersama Ahli Majlis Fatwa Kedah, Profesor Madya Dr Abdul Aziz Hanafi.

“Dr Abdul Aziz Hanafi menjelaskan bahawa Mohamad Sabu pernah melafazkan selawat sebagai mana yang diamalkan oleh penganut Syiah pada satu sesi ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada tahun 2005,” kata Abdul Rahim.

Abdul Rahim berkata Mohamad juga pernah menyatakan kekagumannya dengan kepimpinan dan perjuangan pemimpin revolusi Iran 1979, Ayatullah Khomeini serta memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan Hassan Nasrullah.

Rahim berkata Mohamad juga kerap kali berulang-alik ke Iran untuk beberapa urusan seperti program penghantaran pelajar di Qom, Iran dan sudah empat-lima kali bertemu Hassan.

“Ketika mengulas mengenai perutusan hari Krismas pada tahun 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, beliau telah menggunakan pendekatan ulama Syiah iaitu Imam Khomeini (kiri) sebagai terma tujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan,” kata beliau.

Dalam kenyataan lima muka itu, Abduk Rahim turut memetik portalAntarapos dan blog www.dukeofumno.blogspot.com sebagai bukti Mohamad terlibat dalam Syiah.

Abdul Rahim berkata KDN mengambil sumber blog bertajuk “Ekslusif..!! Tok Guru Pondok Sahkan Mat Sabu Penganut Syiah” yang memetik seorang bernama ‘Tuan Guru Haji Abd Rahim” dari Sg Jagung, Pendang, Kedah yang berkata pernah melihat Mohamad menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya.

“Amalan ini sinonim dengan golongan Syiah.

“Temuramah yang dibuat agensi berita AntaraPos dengan Datuk Audit Ghazali, Timbalan Presiden JATI menjelaskan bahawa Mohamad Sabu merupakan ikon Syiah dan beliau gagal menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan Syiah,” kata Abdul Rahim.

Selain itu, Mohamad juga dikatakan pernah mengunjungi masjid Syiah di Kg Aluar, Wilayah Satun, Thailand dan melakukan kunjungan mesra ke atas pemimpin Syiah dan menghadiri majlis ramah mesra di sana.

Beliau turut memberitahu media temuramah KDN dengan rakan Mohamad bernama CN Afghani di Masjid Jamek Kuala Lumpur tahun lalu serta bekas pemimpin politik yang pernah bersama beliau dalam perjuangan parti menunjukkan Mohamad ‘cenderung’ dengan fahaman tersebut.

“Keterangan dari rakan-rakan beliau yang pernah bersama-sama berjuang dalam lapangan politik yang sana turut memperakui bahawa beliau seorang yang mempunyai kaitan dengan Syiah,” kata beliau.

Abdul Rahim mengatakan KDN termasuk polis serta agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri akan bekerjasama membendung pengaruh Syiah di kalangan umat Islam negara ini.

Bagaimanapun beliau langsung tidak memberi langkah lanjut yang akan dibuat KDN atau pihak lain berkenaan kes Mohamad malah menamatkan sidang media tanpa mengambil sebarang soalan.

“KDN akan bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan manakala Jakim dan jabatan agama Islam negeri akan melihat dari aspek akidah dan penguatkuasaan di peringkat negeri,” katanya.

Kalau sekadar mengkagumi Imam Al Khomeni dianggap sebagai syiah, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam tulisan di Twitter berkata, beliau juga mengagumi Khomeini, dan juga tokoh revolusi lain seperti ikon anti-apartheid Nelson Mandela, pemimpin gerila Bolivia Che Guevara, dan pejuang kebebasan India Mahatma Gandhi.

“Saya kagum Mandela, Che Guevara, Ghandi, Mother Theresa. Adakah bermakna saya Kristian, komunis, Hindu?

“Saya juga kagumi Khomeini. Adakah saya Syiah?,” tulis bekas ahli parlimen Temerloh itu. Dalam Facebook pendedahan KDN itu dipersenda kerana kalau mengkagumi Khomeni dianggap Syiah itu sudah melampau. Malah gambar Presoden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dengan Khomeni juga ditunjuk dalam Facebook sambil bertanya, “Adakah Ibrahim Ali juga seorang Syiah?”

Mat Sabu pula mengakui beiau kagum dengan kepimpinan bapa revolusi Iran Ayatullah Khomeini serta pemimpin Lubnan Hassan Nasrallah.

Bagaimanapun beliau tetap menafikan mengikuti fahaman Syiah. Beliau berkata di Langkawi beliau akan menyaman Zahid Hamidi dan KSU KDN kerana mengaitkannya sebagai pengikut Syiah.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha membanteras penularan fahaman Syiah di negara ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk parti-parti politik.

Beliau berkata jika tidak dibendung, fahaman itu boleh memecahbelahkan umat Islam di negara ini dan seterusnya mencetuskan perang saudara seperti yang telah berlaku di beberapa negara Timur Tengah.

“Saya tidak fikir kita mahu itu berlaku. Atas kesedaran ini, kita tekankan soal banteras dahulu sebelum ia terus tersebar luas.

“Bukanlah untuk menakut-nakutkan umat Islam di negara ini tetapi kita mahu menekankan kepentingan mengelak perpecahan ummah khususnya dari dalam,” katanya kepada Bernama selepas ditemu bual dalam program “Ruang Bicara” terbitan BernamaTV di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, malam tadi.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno berkata terdapat 18 markas Syiah di Malaysia dengan lebih 300,000 pengikut.

“Kita khuatir jumlah ini akan terus meningkat jika tidak ditangani,” katanya sambil menjelaskan penularan fahaman Syiah di negara ini masih terkawal.

Beliau berkata ini adalah perjuangan umat Islam secara keseluruhannya dan mengajak semua pihak termasuk PAS untuk tampil bersama menjayakannya.

Terdahulu, ketika ditemu bual dalam program itu, Ahmad Zahid berkata beliau terbuka jika Timbalan Presiden PAS itu mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana mengeluarkan kenyataan mendakwanya terlibat ajaran Syiah pada Perhimpunan Agung Umno 2013 minggu lepas.

“Kalau nak saman, saya terbuka. Jika mahu bukti, biar serahkan pada mahkamah dan pegawai-pegawai saya, tentu ada bukti yang cukup untuk dikemukakan. Silakan,” katanya.

Beliau berkata pendedahannya itu bukan bermotif politik sebaliknya atas soal individu. Kita tunggu tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom selepas ini.