Kerajaan digesa terus perangi Syiah





ADA yang menganggap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sering membuat pelbagai kenyataan yang kontroversi.  Ada yang juga merasakan ini adalah cara beliau untuk terus menunjukkan kehebatan beliau sebagai seorang pemimpin.

Semua orang boleh memberikan pandangan masing-masing tentang Menteri Dalam Negeri kita ini, namun apa yang pasti setiap tindakan beliau pasti akan mendapat susulan dan tindak balas daripada semua pihak.

Ahmad Zahid tidak gentar jika apa yang dilakukannya itu mempunyai elemen kontroversi , tetapi boleh memperbaiki keadaan dan keselamatan dalam negeri, maka itulah yang akan dilaksanakan.

Dan apabila ini berlaku, maka seluruh rakyat Malaysia akan membincangkan isu yang dilontarkan yang mana akhirnya isu tersebut akan cuba diselesaikan oleh semua pihak yang terbabit.

Maaf jika penulis menyatakan, orang Malaysia ini ada masanya perlu “diketuk” barulah kita akan bertindak dan Ahmad Zahid terpaksa “memukul dan mengetuk” untuk kita semua bertindak.

Contoh terkini ialah isu fahaman Syiah yang melibatkan pemimpin kanan Pas. Sebelum Ahmad Zahid membuat kenyataan berhubung perkara ini, isu Syiah sudah menjadi suam-suam kuku semula.

Isu tersebut seolah-olah senyap  dan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dalam pada itu, mungkin tanpa kita sedari gerakan fahaman Syiah  sudah semakin melebarkan sayapnya di Malaysia. Tetapi apabila isu ini ditimbulkan oleh Ahmad Zahid dengan gaya yang penuh kontroversi, maka mata dan hati masyarakat sudah terbuka semula untuk membincang dan membicarakan tentang fahaman Syiah yang secara rasminya dianggap sebagai ancaman kepada negara kita.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid telah mengingatkan sekali lagi tentang pendekatan Taqiyyah atau penyamaran golongan Syiah yang membolehkan golongan ini berada di kumpulan Ahli Sunah Wal Jemaah.

Ini adalah kenyataan umum yang mengingatkan kepada kita bagaimana golongan ini boleh terus mempengaruhi masyarakat Islam Malaysia. Kita sering mendengar pelbagai teori bagaimana fahaman syiah ini disebarkan.

Daripada pembincangan kedai kopi dengan rakan rakan, ada yang menyatakan penyebaran fahaman ini sudah lama , iaitu beratus tahun dahulu. Namun begitu ia mula popular apabila masyarakat dunia simpati dengan perjuangan Ayatollah Khomeini yang memulakan Revolusi Iran pada tahun 1979 dahulu .

Kita tidak mahu berbincara tentang sejarahnya kerana itu merupakan satu lagi topik khusus yang perlu diberikan penekanan. Apa yang lebih membimbangkan saya ialah jika kita tidak mengambil tindakan susulan daripada apa yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid.

Tentunya kita tidak mahu senario di Malaysia menjadi seperti di Indonesia yang mana ada berita yang menyatakan terdapat usaha untuk menggabungkan fahaman Syiah dengan Ahli Sunah Wal Jemaah, iaitu sebagai usaha untuk menyatukan kedua-dua pengikut fahaman ini agar tidak bertelagah lagi.

Ini bukan satu usaha kompromi tetapi akan mewujudkan suasana yang lebih huru hara. Di Singapura juga golongan Syiah dikatakan semakin berpengaruh dan telah mempengaruhi generasi baru khasnya bagi mereka yang  cetek pengetahuan agamanya.

Pada prinsipnya terlalu banyak percanggahan antara kedua-dua fahaman ini. Saya akui, berita yang saya terima ini bukanlah sesuatu yang telah dipastikan tetapi ada masanya kita perlu berhati-hati apabila angin mula bertiup dan daun mula bergoyang, kerana itu juga tandanya hujan akan turun dan ribut kemungkinan akan menyusul.

Penulis merasakan sudah terlalu banyak penulisan yang dikaitkan dengan bahayanya fahaman Syiah ini. Bahkan ketika isu ini panas suatu ketika dahulu, boleh dikatakan setiap majalah Islam di negara kita akan memberikan tumpuan khas kepada isu ini. Masyarakat Malaysia sudah tahu akan bahayanya fahaman ini. Itu sebabnya Ahmad Zahid merasakan yang sudah sampai masanya untuk kita bertindak dengan lebih agresif.

Beliau pernah mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Menangani Ajaran Sesat bagi mengatasi masalah penyelewengan akidah yang mengancam keselamatan negara. Usaha ini menunjukkan Ahmad Zahid begitu komited dalam usaha beliau mengatasi masalah ini. Suruhanjaya seperti ini bukan sahaja ditubuhkan untuk memerangi Syiah tetapi juga pelbagai ajaran sesat yang lain.

Arahan daripada Ahmad Zahid amat jelas sekali. Syiah serta ajaran sesat perlu dibanteras dan kali ini bukan sekadar dengan penulisan dan perbincangan. Beliau tidak menghiraukan apa orang kata. Biarlah ada yang menyatakan yang beliau tidak rasional ataupun gila kuasa, tetapi baginya apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan masyarakat Islam di negara kita serta rakyat Malaysia seluruhnya.

Tidak guna jika kuasa yang ada tidak digunakan dengan sepenuhnya untuk membanteras sesuatu yang mengancam keselamatan agama Islam dan keharmonian masyarakat di negara kita.

Sungguh begitu Ahmad Zahid perlukan kerjasama daripada semua pihak dan ini termasuklah juga dari semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)serta parti –parti politik di Malaysia.

Jika terdapat bukti yang ahli mereka terlibat dengan fahaman Syiah, maka jangan disangkal lagi dan  tidak perlu dipertahankan. Beritahu kepada seluruh dunia tindakan yang dilakukan untuk menunjukkan yang kita juga begitu komited memerangi fahaman Syiah daripada terus berleluasa di Malaysia.

Ini bukan soal survival dalam politik tetapi soal akidah Islam yang perlu dipertahankan. Semua pihak perlu mengambil penekanan yang positif terhadap kenyataan beliau berhubung isu Syiah ini.

Saya mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid yang mengambil risiko dibenci dan dikutuk oleh golongan yang tidak setuju dengan kenyataannya yang kontroversi itu. Sebagaimana yang saya terangkan, ada masanya rakyat Malaysia “perlu diketuk” barulah akan sedar semula.

Kepada Ahmad Zahid, teruskan usaha anda itu.