SELEPAS panas seketika kerana dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi
(MT) Umno oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini Ustaz
Mohd Kazim Elias dilihat mengakui bahawa parti Umno tidak pernah
meminggirkan Islam dan ulamak.
Dalam satu video oleh Malaysian Iquirer hari ini, beliau berkata
parti terbesar orang Melayu itu tidak pernah juga menidakkan program
keagamaan apatah lagi tidak memartabatkan agama.
“Saya nak bagitahu kepada seluruh rakyat Malaysia. UMNO tidak
pernah meminggirkan ulamak dan tidak pernah menidakkan program
keagamaan dan memartabatkan agama.
“Bila saya dengar yang Datuk Seri (PM) nak buat itu, saya rasa
seluruh umat Islam khususnya kena sokong dan beri kekuatan kepada Datuk
Seri. UMNO tidak pernah menolak agamawan. UMNO tidak pernah menolak
Islam,” katanya.
Mohd Kazim selepas mengetahui dilantik sebagai ahli MT bertindak
bertemu dengan Najib yang juga Perdana Menteri bagi mendapat gambaran
jelas tentang peranan yang bakal beliau mainkan dalam MT.
Beliau tidak mahu peranan menyebarkan dakwah agama Islam yang sudah
dilakukan secara meluas menjadi seperti terkunci kerana penglibatannya
di dalam MT Umno.
Selepas pertemuan dengan Perdan Menteri di Parlimen, Mohd Kazim
kemudiannya membuat keputusan menolak perlantikan itu dengan baik kerana
tidak mahu menjejaskan peranan dakwahnya yang sudah diterima oleh
rakyat secara meluas. – MYNEWSHUB.MY