Nik Abduh mahu Syiah diheret ke Mahkamah

Isu Syiah adalah serius yang boleh membawa perpecahan dalam masyarakat, namun tidak wajar sekadar dipolemikkan di luar kamar mahkamah sehingga mengundang rasa tidak percaya orang ramai.
 
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan '10 maklumat' mengaitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah perlu disusuli dengan pendakwaan di mahkamah bagi membuktikan kebenaran tuduhan itu.

Beliau berkata, kerajaan perlu bersedia dengan rakaman lengkap yang menunjukkan aktiviti didakwa dilakukan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, contohnya solat sebagaimana kaedah orang Syiah, menganggap ajaran Syiah tidak sesat serta mengucapkan perkataan yang berlawanan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Menurutnya, pendedahan semalam bukan bermaksud sudah terbukti dakwaan (Mat Sabu) Syiah, itu bukan pembuktian lagi kerana perlu disahkan kebenaran di mahkamah, kalau setakat begitu sahaja, orang tidak akan percaya.

"Menghadapi Syiah yang sesat ini tidak cukup sekadar amaran mahu menangkap orang di Perhimpunan Agung UMNO kerana itu perhimpunan politik dan hanya menjadi modal politik, lainlah kalau kita sebut di Parlimen.

"Syiah ini ada tanda-tanda, antaranya bagaimana dia sembahyang atas batu, percakapan dia yang menyalahi Ahli Sunnah Wal Jamaah, menganggap Syiah sama dengan ahli sunni iaitu tidak sesat, percakapan yang menghina sahabat Rasulullah SAW dan mengungkapkan kalimah-kalimah yang merupakan satu dosa di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam yang mengumumkan 10 maklumat yang didakwa mengaitkan Mat Sabu dengan fahaman Syiah.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mendedahkan seorang pemimpin kanan Pas adalah pengikut Syiah ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Nik Mohammad Abduh berkata, alasan bahawa Mat Sabu pernah beberapa kali melawat Iran harus dibuktikan bahawa beliau pergi negara itu kerana keperluan sebagai penganut Syiah, begitu juga dengan dakwaan pertemuan dengan Setiausaha Agung Syiah Lebanon, Saiyyid Hassan Nasrullah.

"Ramai orang lain yang melawat Iran, berapa ramai juga yang bertemu Hassan Nasrullah, bukan setakat Mat Sabu seorang sahaja. Kalau beliau puji Ayatollah Khomeini, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas) pun pernah puji Khomeini, sebab itu perlukan bukti beliau pergi dan bertemu atas dasar sebagai penganut Syiah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Nik Mohammad Abduh meminta kerajaan memperkukuhkan silibus pendidikan agama di sekolah dan tenaga pengajarnya agar generasi muda Islam tidak terpengaruh dengan ajaran sesat termasuk Syiah.

Beliau berkata, fenomena ajaran sesat yang berleluasa dalam masyarakat adalah disebabkan kurangnya ilmu dan pemahaman kepada nilai agama sebenar.

Tambahnya, orang jadi sesat kerana ilmu, anak-anak muda diajar sembahyang tetapi maksud dan nilai daripada sembahyang golongan ini tidak tahu dan akhirnya meninggalkan kewajipan tersebut.

"Begitu juga soal kepercayaan, apa yang berlaku kepada sistem pendidikan kita sehingga ada orang Melayu boleh percaya sahabat Rasulullah SAW buat perkara tidak betul? Akidah mereka tidak kukuh dan puncanya bermula daripada pendidikan.

"Cuma isu besar kita sekarang kerajaan sendiri bermasalah, menganut ajaran yang bermasalah, sekularisme ini sesat, kerajaan mesti buktikan juga bebas daripada anutan sekular," katanya.

Terdahulu dalam kuliahnya, Nik Mohammad Abduh berkata, golongan Syiah mempraktikkan amalan bida'ah yang sangat teruk seperti tindakan mereka memburuk-burukkan sahabat Rasulullah SAW dan ini adalah ajaran sesat yang tidak boleh dibiarkan berkembang di negara ini. 

"Golongan Syiah tidak boleh duduk bersama dengan pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana akan berlaku perbalahan, dan apabila bilangan mereka (Syiah) semakin besar, permusuhan akan menjadi lebih kuat, sebab itu amat tepatlah apabila kerajaan mahu bertindak tegas ke atas penyebaran fahaman berkenaan," katanya. - Utusan