Nora Danish kecik hati kat kumpulan Boboi...

Pelakon Nora Danish tersinggung terhadap Boboi apabila kumpulan lawak itu seolah-olah merendahkan fungsi juri Maharaja lawak Mega yang berlangsung pada Jumaat lalu.

Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 31, berkata, Boboi yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik tidak sepatutnya mempersoalkan kredibiliti juri yang tidak mempunyai pengalaman berlawak tetapi dilantik mengadili acara itu.

“Ketika Boboi membuat persembahan tersebut, saya serta barisan juri lain terkejut dan wajah kami masing-masing terus berubah.

“Jujurnya saya tersinggung dengan Boboi. Saya serta juri-juri lain sayangkan mereka tetapi rasanya mereka tidak patut membuat lawak menyindir sedemikian,” katanya.

Nora ditemui pada pelancaran sebagai duta produk Sure White Beauty Plus dan C-Glow Factor di Flora Terrace, di sini pada Isnin.

Selain Nora Danish, juri tetap program itu ialah Datuk Yusof Haslam, Luna Maya (Indonesia) dan Syed Haikal (Singapore).

boboi
Afdlin Shauki (kiri) dan Harun Salim Bachik yang menububkan kumpulan Boboi.

Rancangan tersebut disiarkan secara langsung pada setiap hari Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna.

Tambah pelakon filem Bencinta itu, para peserta perlu faham bahawa pihak Astro memilih juri MLM untuk memberi komen berdasarkan sisi pandangan mata mereka sebagai seorang penonton.

Bagaimanapun Nora Danish berkata, dia juga faham, para peserta memerlukan juru profesional agar kritikan yang diberi dapat memperbaiki lagi mutu persembahan pada episod seterusnya.

“Saya rasa, pihak Astro perlu menerangkan kepada para peserta MLM sebab-sebab kami dipilih. Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak berapa jelas. Jujurnya, saya syangkan Afdlin dan Harun kerana mereka adalah ‘otai’ dalam industri ini.

“Cuma kalau boleh janganlah membuat lawak menyindir kami sebegitu,” ujarnya.

Sementara itu, Afdlin yang dihubungi mStar Online pula berkata, Nora tidak sepatutnya berasa hati dengan persembahan Boboi kerana sindiran tersebut tidak ditujukan kepada sesiapa.

“Menjadi perkara normal dalam bidang lawak apabila seseorang pelawak itu menyindir dalam persembahan mereka. Bagi pelawak, mereka faham dengan situasi tersebut.

“Kenapa mereka (juri) tidak anggap persembahan itu hanyalah komedi semata-mata?” soalnya.