ALOR SETAR – Polis Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar
(MBAS) melancarkan Ops Cantas Khas Along dalam usaha membanteras
kegiatan sindiket pinjaman wang haram atau Along dan menghapuskan iklan
pinjaman wang haram.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah DSP Harison
Othman berkata dalam operasi tersebut pihaknya menurunkan semua iklan
haram tersebut yang diletakkan di tempat awam.
Bagi tempoh Januari hingga Disember ini, 10 kertas siastan telah
dibuka dan 19 tangkapan dibuat berkaitan kes Along manakala pada tahun
lepas enam kertas siasatan dibuka dan tujuh suspek ditahan, katanya
kepada pemberita dalam operasi menurunkan iklan pinjaman wang haram di
Jalan Taman Rakyat di sini hari.
Di KUCHING, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt
Mohd Firdaus Abdullah berkata sembilan individu dipercayai terlibat
kegiatan Along ditangkap di negeri ini bagi tempoh Januari hingga bulan
ini.
Daripada jumlah itu, tiga orang telah didakwa di mahkamah kerana
menjalankan kegiatan peminjaman wang tanpa lesen, katanya dalam sidang
media selepas mengetuai Ops Cantas Khas untuk merampas dan menurunkan
iklan pinjaman wang haram di sekitar bandar raya ini dan di Kota
Samarahan.
Sebanyak 300 poster iklan berkenaan pinjaman wang segera dirampas
dalam operasi itu yang turut disertai pegawai penguatkuasa Majlis Bandar
Raya Kuching Selatan, Dewan Bandar Raya Kuching Utara dan Majlis Daerah
Padawan.
Firdaus juga berkata nombor telefon pada iklan itu akan dirujuk
kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi tujuan
siasatan dan tindakan. – BERNAMA