Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera
(ASB) akan menerima dividen 7.70 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir
31 Dis, 2013 berbanding 7.75 sen tahun lepas.
Sejumlah 8.26 juta pemegang unit, yang
kini memiliki sejumlah 127.2 bilion unit ASB, juga akan menerima bonus
sebanyak 1.00 sen seunit.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif
Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata
walaupun pengagihan dividen kali ini rendah sedikit berbanding tahun
lepas, kadar itu kekal kompetitif di tengah-tengah ketidaktentuan
ekonomi global.
“Kadar ini juga bukanlah yang terendah
yang pernah diagihkan oleh PNB kerana pada tahun 2009, pengagihan
dividen adalah 8.65 sen seunit.
“Sebenarnya PNB mampu membayar dividen
sebanyak 10.54 sen seunit untuk tahun ini, tetapi kita bawa ke hadapan
2.71 sen seunit bagi membantu portfolio dana ini untuk lebih berdaya
mampan di masa hadapan,” kata beliau kepada pemberita selepas pengumuman
pengagihan pendapatan ASB oleh Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul
Hamid di sini Khamis. – BERNAMA