"Penyakit" suka beli alat make-up...

Saya siswi di sebuah universiti tempatan. Memang menjadi lumrah seorang perempuan ingin kelihatan cantik dan menawan.

Masalahnya, saya cepat terpengaruh dengan produk kosmetik yang dijual di ­pasaran. Apabila melihat kawan membelinya, pasti saya juga berbuat demikian, apatah lagi melihat keberkesanannya.

Saya banyak menghabiskan wang ringgit dengan membeli benda seperti itu.
Saya juga takut jika hal ini melarat sehingga boleh menjejaskan kesihatan dan kewangan saya.

Sebelum ini, saya sudah berusaha menghakis sifat buruk ini tapi setakat ini masih sama dan tidak berubah. Saya ingin meminta nasihat bagaimana mengawal tingkah laku ini.

MUDAH TERPENGARUH,
Melaka



Dr memahami perasaan dan masalah adik. Memang menjadi lumrah manusia terutama wanita yang ingin sentiasa tampil cantik dan menawan.

Cantik dan ingin kelihatan anggun tidak boleh dipisahkan daripada kaum hawa kerana ini adalah fitrah manusia.

Cuma, apa perlu adik fikirkan ialah bagaimana cara untuk menguruskan perkara ini. Setiap perkara yang kita lakukan dalam kehidupan ini menuntut perancangan teliti sama ada tenaga, wang ring­git dan masa.

Mengenai masalah ini, Dr sarankan adik sentiasa berfikir kesan yang ditang­gung apabila melakukan sesuatu perkara.

Sebagai contoh, adik perlu fikirkan masalah kewangan jika selalu berbelanja mengikut kawan.

Memang untuk cantik, seseorang itu perlu mengorbankan wang tapi apakah berbaloi sehingga menghadapi masalah kewangan demi untuk kelihatan cantik atau menjejaskan prestasi pengajian di universiti?

Perlu diingat setiap apa yang adik lakukan di dunia ini pastinya mempunyai sebab dan akibatnya.

Dalam setiap tindakan, kita wajar memikirkan kesan yang akan ditanggung sebelum membuat apa-apa keputusan.

Senaraikan kesan baik dan buruk jika keputusan itu diambil.

Pesan Dr, jangan mudah terpengaruh dengan kawan dalam semua tindakan. Usah hanya melihat kesan jangka pendek tetapi renung juga kesan jangka panjang.

Ini sangat penting kerana ia mampu memberi impak yang besar dalam kehidupan adik. Dr bersetuju dengan kesan dari segi kesihatan yang adik maklumkan itu.

Setiap produk yang dihasilkan mempunyai proses yang tersendiri dan semestinya bahan yang digunakan mempunyai tindak balas kimia yang adik sendiri tidak tahu kesannya.

Justeru, sebelum membeli sesuatu produk, teliti dulu bahan yang digunakan bagi mengelak sebarang masalah nanti.

Semoga adik kuat untuk menghadapi perubahan kelak dan jangan mudah berputus asa. Kuatkan semangat dan semoga adik berjaya dalam kehidupan.