Ketahuilah, pemikiran liberal yang datang dari Barat sebenarnya
berasal daripada tradisi pemikiran Yahudi. Buktinya Leonard Binder
memperincikan beberapa agenda penting dalam bukunya Islamic Liberalisme:
A Critique of Development Ideologies.
Dalam buku itu beliau menjelaskan, pergerakan Islam Liberal perlu
didukung dan disebarluaskan berasaskan kepada wacana rasional.
Gerakan ini digunakan sebagai alat untuk mencapai tujuan politik iaitu
menjelmakan satu pemerintahan ala Barat bagi sebuah negara sebagai
penyambung lidah Yahudi.
Buktinya Leonard menjelaskan: ‘Liberal
government is the product of a continuous process of rational discourse.
Political Liberalism in this sense, is indivisible. It will either
prevail worldwide or it will have to be defended by nondiscursive
action.”
Selain Leonard, muncul pula Charles Kurzman yang
memperkenalkan istilah dan gerakan baru kepada dunia Islam di dalam
bukunya berjudul Liberal Islam: A Sourcebook. Buku berkenaan
menghimpunkan karya 32 penulis dari 19 negara termasuk artikel Nurkholis
Madjid yang berjudul Penyegaran Kembali Pemahaman Keagamaan Dalam
Kalangan Umat Islam Indonesia.
Walaupun ditulis dengan gaya
pemikiran falsafah moden dan terbuka, ia sedikit sebanyak mampu
menerapkan pemikiran liberalisasi agama dalam kalangan masyarakat.
Dalam buku itu juga, Charles secara jelas mengatakan bahawa penulis buku
berkenaan semuanya berorientasikan fahaman liberal, apabila secara
khususnya mereka menentang kebangkitan Islam secara halus.
Kelemahan pemimpin Islam, kejumudan ulama dan kejahilan masyarakat
Dalam mengupas faktor ini, penulis mendatangkan contoh Khilafah
Uthmaniyah sebagai bahan renungan dan teladan buat semua.
Sebagai
contoh, dasar pembangunan kerajaan Uthmaniyah pada abad ke-16 yang lebih
berorientasikan pembangunan fizikal dan ketenteraan menyebabkan
pengembangan bahasa Arab terabai.
Pengabaian ini menyebabkan usaha
memahami dan mengkaji Islam secara mendalam terbantut. Banyak ruang
pemikiran dan pelaksanaan agenda pembangunan Islam tertutup. Malah,
ramai dari kalangan pemimpin umat Islam hidup dibuai mimpi indah.
Alim ulama pula kebanyakannya menumpukan kepada masalah tekstual yang
lebih bersifat fiqhiyah. Malah, ada sebilangan mereka yang selesa
dengan kehidupannya tanpa mengambil berat masalah umat.
Apatah lagi
untuk melahirkan idea bernas yang dapat disumbangkan bagi pembangunan
negara.
Kemajuan tamadun Eropah juga memperlihatkan kemajuan antara abad ke-16 hingga ke-18 turut menjadi faktor. Situasi ini menyebabkan dunia Islam terpencil. Kerajaan Uthmaniyah mula tertarik dengan kejelitaan Eropah.
Umat Islam berasakan ilmu pengetahuan di
Eropah perlu diintegrasikan supaya Uthmaniyah mendapat standard yang
sama. Selaras dengan revolusi di Perancis pada 1816, ada sekolah di
Mesir menerima pakai pemikiran Voltaire, Rostow, Montesquieu dan
lain-lain.
Maka bermulalah pergeseran tamadun dengan Islam. Akhirnya
memunculkan fahaman nasionalisme yang menggalakkan pembebasan wilayah
Uthmaniyah mengikut identiti bangsa masing-masing.
Imperialis Barat
pula berhasil meletakkan penguasa tempatan bagi mengukuhkan cengkaman
mereka dalam mengukuhkan penjajahan bentuk moden. Inilah hakikat yang
berlaku dan terpaksa diterima walaupun amat pahit untuk ditelan.
Kini, isu kelemahan pemimpin Islam, kejumudan alim ulama dan kejahilan
masyarakat kembali menghantui kita. Ya, ketidakpekaan pemimpin
terhadap isu sensitif umat Islam menyebabkan kemasukan idea liberal dan
pluralisme dipandang sepi.
Kelembapan ulama untuk bersuara, berhujah
dan menjadi penggerak ilmu masyarakat mengakibatkan umat ini berada
dalam kegelapan dan ketandusan idea. Apatah lagi untuk mengenal sesuatu
aliran pemikiran yang ada.
Umat yang lemah hanya menyaring sahaja apa
jua pemikiran mendatang asalkan dilihat rasional dengan gaya dan
keperluan hidup mereka. Justeru, semua pihak harus menyedari hakikat
ini, bahkan meningkatkan keprihatinan dan tanggungjawab yang tinggi
dalam mendukung pegangan dan pemahaman yang benar.