Pokok Buah: Mukhriz teruskan hasrat arwah Azizan Razak





ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan mengusahakan ladang berkelompok dengan menanam pokok buah-buahan di kawasan balak yang ditebang secara haram.
  
Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata setakat ini kerajaan negeri mengusahakan tanaman pisang, nanas dan betik yang akan dipasarkan ke Jepun.
  
Memandangkan 'pencerahan' hutan secara haram ini sudah berlaku, maka kerajaan negeri akan memanfaatkannya dengan menanam pokok buah-buahan dengan membabitkan masyarakat setempat, katanya dalam sidang media selepas Pengumuman Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Negeri Kedah, di sini hari ini.
  
Menurut Mukhriz dalam masa sama kerajaan negeri akan mempertingkat penguatkuasaan bagi membendung pencerobohan hutan simpan kekal di negeri itu.
  
"Kita lihat ini sebagai perkara serius kerana ia menjejaskan hasil pendapatan negeri dengan aktiviti tidak berlesen," katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendedahkan beberapa kawasan di Langkawi, Baling dan Padang Terap semakin 'cerah', akibat penebangan hutan dan pengusahaan tanah secara tidak terkawal.
  
Laporan itu memetik kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah, Ku Azmi Ku Aman, yang berkata siasatan mendapati kawasan terbabit diceroboh oleh individu, bukan syarikat.
  
Mengulas perkara itu, Mukhriz berkata pihaknya akan berusaha mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan berkenaan.
  
Setakat ini kerajaan negeri belum menerima laporan mengenai pembabitan 'orang dalam', katanya.
  
Mengulas perkara lain, Mukhriz berkata kerajaan negeri akan melihat pendekatan luar kotak bagi membantu pelajar di negeri itu selain meningkatkan prestasi Kedah dalam bidang akademik.
  
"Sudah pasti saya gembira dengan keputusan positif yang dicatat dalam PMR kali ini, tapi pada masa sama kita tidak boleh berpuas hati. Sasaran kita ialah menaikkan Kedah sebagai antara negeri terbaik di negara ini.
  
"Sesetengah pihak mungkin menganggap ini satu cabaran, tapi saya tidak fikir perkara itu mustahil. Kita akan tetapkan tempoh masa dan dengan strategi spesifik saya yakin kita mampu mencapainya," katanya. - Bernama