Saja suka cari "pasai"...

Meskipun simbol ‘dilarang masuk’ sudah jelas terpampang, nampaknya kesedaran sesetengah penunggang motosikal mengenai peraturan jalan raya masih rendah apabila didakwa tidak mematuhi papan tanda lalu lintas.

Malah, sesetengah pengguna lalu lintas dilihat tidak mempedulikan keselamatan mereka mahupun pihak lain apabila menunggang motosikal arah bertentangan di terowong bawah jambatan berhampiran bandar raya Alor Setar dekat sini, semalam.

Melalui tinjauan, sesetengah menunggang motosikal mahupun basikal melalui jalan bertentangan dengan alasan ingin cepat mahupun mengejar masa.

Sedangkan laluan sibuk kemungkinan menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan masing-masing, sekali gus boleh mengundang risiko kemalangan.

Lelaki hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, dia terpaksa berbuat demikian setiap kali ke bandar raya Alor Setar kerana menjimatkan masa, di samping mengelakkan tersangkut dalam kesesakan terutamanya apabila waktu puncak.

“Jika tidak berbuat sedemikian, saya terpaksa menunggang motosikal sejauh lebih satu kilometer, walhal lokasi yang ingin ditujui hanya sejauh 50 meter.

“Saya sedar tindakan dilakukan kesalahan besar, disebabkan ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, sebaliknya mengundang risiko kepada pengguna lalu lintas lain juga.

"Namun, saya tetap melakukannya kerana ingin cepat sampai,” katanya.

Manakala Rahimi Rashid, 34, berkata, tindakan mementingkan diri sendiri sesetengah penunggang motosikal sememangnya mengundang ketidakselesaan kepada orang awam sepertinya.

“Difahamkan pihak berkenaan sudah ambil tindakan, malah bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna.

"Maka, kita yang sepatutnya ubah sikap dan fikiran demi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.