ALOR SETAR – Tahun 2013 menyaksikan kuasa memerintah negeri Kedah
kembali semula kepada Barisan Nasional (BN) berikutan kemenangan parti
itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.
BN Kedah, yang prestasinya dianggap luar biasa ketika sokongan kepada
BN di peringkat persekutuan dan banyak negeri dikatakan merosot pada
PRU13, menang majoriti mudah bagi menguasai 21 daripada 36 kerusi Dewan
Undangan Negeri (Dun) manakala Pas (sembilan), DAP (dua), PKR (empat).
Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang bertanding bagi kerusi Dun Ayer
Hitam mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu sehari
selepas PRU13 itu.
Pemerhati politik berpendapat pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak pada malam sebelum hari pengundian dengan menamakan
Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah jika BN menawan semula negeri ini
dilihat menjadi faktor penting kepada kejayaan BN menguasai semula
Kedah.
Ia dikatakan menjadi tarikan kepada pengundi muda, atas pagar dan
pengundi dari luar untuk memberi sokongan kepada BN kerana yakin
terhadap kewibawaan Mukhriz sebagai menteri besar yang baharu.
Faktor lain yang turut menyebabkan BN kembali menjadi pilihan adalah
kegagalan kerajaan negeri sebelum ini yang diterajui Pas dalam membawa
pembangunan yang dijanjikan selain perbalahan sesama sendiri pemimpin
parti yang membentuk kerajaan negeri sebelum ini.
Selepas menguasai semula Kedah, kerajaan negeri yang diterajui
Mukhriz tidak menunggu lama dalam merancang usaha melaksanakan manifesto
atau AkuJanji BN negeri pada PRU13 lalu menerusi slogan ‘Kedah Aman
Makmur: Bersama Memacu Transformasi’.
Beliau juga dilihat bersungguh-sungguh untuk keluar daripada bayangan
bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi Perdana Menteri selama
22 tahun, dan membuktikan kebolehan beliau tanpa bergantung kepada
faktor ‘bin’ beliau.
Dalam menjana idea terbaik untuk membangunkan Kedah, kerajaan negeri
menganjurkan Makmal Transformasi Kedah (MTK) selama dua minggu pada
September lalu, dengan MTK menjadi platform untuk pelbagai pihak
berkepentingan mengutarakan idea serta cadangan bagi membangunkan Kedah
menjadi negeri maju.
Mukhriz memberikan tumpuan untuk membangunkan industri berteknologi
tinggi tetapi pada masa sama mahu mengekalkan status Kedah sebagai
negeri Jelapang Padi, yang menjadi sumber utama beras negara.
Mukhriz juga meneruskan usaha-usaha kerajaan negeri terdahulu yang
beliau anggap baik dan tidak patut dihentikan, antaranya pemberian
sumbangan kepada guru al-Quran sukarela dan bidan kampung yang beliau
teruskan sebaik menjadi Menteri Besar.
Bagi beberapa perkara yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada
kerajaan negeri terdahulu, beliau telah mengambil langkah-langkah perlu
untuk menyelesaikannnya.
Isu penebangan hutan secara tidak terkawal sehingga banyak kawasan
terutama di Tasik Pedu ‘dibotakkan’ paling beliau berikan perhatian.
Tidak lama selepas dilantik sebagai Menteri Besar, Mukhriz
mengarahkan semua aktiviti pembalakan di negeri ini dihentikan sementara
supaya kajian semula dapat dilakukan bagi mengelakkan aktiviti itu
memberi kesan kepada alam sekitar dan rakyat.
Isu besar yang melanda pentadbiran terdahulu iaitu Kolej Universiti
Insaniah (Kuin) dan kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan
masalah berbangkit seperti masalah kewangan dan ketiadaan asrama di
kampus induk kolej universiti milik kerajaan negeri di Kuala Ketil itu.
Dalam pembentangan Bajet negeri November lepas, kerajaan Kedah
menyatakan komitmennya untuk memberi perhatian khusus kepada usaha
membasmi kemiskinan di negeri ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi di
Kedah dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat.
Tahun 2013 juga merupakan saat sedih buat rakyat Kedah dengan
pemergian bekas Menteri Besar Tan Sri Azizan Abdul Razak, pemimpin PAS
yang amat dihormati segenap lapisan masyarakat dan pemimpin parti
politik termasuk parti lawan.
Azizan, 69, meninggal dunia pada 26 Sept lalu di Hospital Sultanah
Bahiyah selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang
serius, iaitu sehari selepas PRU13.
Azizan yang menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau sejak
1995, menang untuk kali kelima pada PRU13, dalam pertandingan empat
penjuru termasuk mengalahkan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang
mewakili BN, dengan majoriti 2,774 undi.
Azizan yang menjadi Menteri Besar Kedah selepas PRU12 pada 2008
sehingga 5 Mei lepas mempunyai hubungan yang baik dengan ramai pemimpin
BN, malah hubungan baiknya dengan pemimpin Umno dan BN ‘dicemburui’
pemimpin dan anggota Pas sendiri.
Berikutan kematian Azizan, Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau diadakan pada 4 November.
Pas berjaya mengekalkan kerusi Dun tersebut apabila calonnya Mohd
Azam Abd Samat memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN Dr Ahmad
Sohaimi Lazim yang mendapat 10,985 undi, untuk menang dengan 1,084 undi.
– BERNAMA