"SuperNenek" 70 tahun selamatkan 11 nyawa..!


Bachok - Seorang wanita berusia 70 tahun menjadi 'hero' apabila menyelamatkan 11 nyawa termasuk seorang pemuda yang menghidap sawan daripada rentung ketika kesemua mereka nyenyak tidur dalam kebakaran dua buah rumah di Kampung Kubang Kawah, Perupuk dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, jeritan Rahmah Mohamad yang menyedari kebakaran tersebut berjaya mengejutkan penghuni dua buah rumah berkenaan untuk menyelamatkan diri.

Rahmah berkata, dia terpaksa memberanikan diri dan menggunakan kudratnya untuk mengelilingi kedua-dua rumah yang marak terbakar biarpun terasa bahangnya yang kuat.

"Ketika itu saya sedang menyiapkan kuih untuk dijual. Dari tingkap dapur, saya melihat api marak di salah sebuah rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah saya.

"Saya bergegas ke depan rumah itu dan menjerit serta mengetuk dinding rumah untuk mengejutkan pemiliknya yang ketika kejadian sedang tidur lena.

"Walaupun terjatuh dan rebah kepenatan, saya menguatkan semangat sehingga tuan rumah itu menyedari seisi keluarganya berada di ambang maut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian berkenaan, sebuah rumah yang dimiliki Zainal Mamat, 55, hangus keseluruhannya manakala hampir separuh rumah bapa saudaranya, Mohd. Jais Mat Salleh, 59, terbakar.

Zainal tinggal di rumah itu bersama tujuh ahli keluarganya manakala Mohd. Jais bersama empat anaknya.

Sementara itu, isteri Zainal, Siti Zubaidah Hassan, 51, berkata, ketika kejadian dia sedang mengambil wuduk sambil menunggu waktu solat Subuh di bahagian dapur.

Katanya, pada masa yang sama dua anaknya termasuk Mohd. Safarullah Zainal, 28, yang mempunyai penyakit sawan sejak lahir dan Siti Noor Asyikin Zainal, 14, sedang nyenyak tidur.

"Selepas menyedari jeritan Mak Cik Mah (Rahmah) dan kebakaran yang berlaku, saya hanya sempat mengejutkan anak-anak dan mencapai telefon bimbit di bucu katil sebelum menyelamatkan diri dengan kesemuanya keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang.

"Ketika kejadian, suami saya tiada di rumah kerana bekerja di Kuala Lumpur," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Bachok, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.30 pagi dan sebanyak dua jentera dan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. -Utusan