APABILA Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
membangkitkan isu Syiah dan kaitannya dengan pemimpin Pas, beliau
menyatakan isu Syiah ialah persoalan akidah dan keselamatan negara.
Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu memberi respons bahawa ia adalah
isu sementara tanpa menyedari bahawa dari segi sejarah perkembangan
Syiah dari sudut akidah, syariah dan fikah banyak perkara yang menyalahi
dan bukan isu sementara.
Ramai pemimpin Pas membuat anggapan bahawa tidak salah mengagumi
Ayotullah Khomeini. Pemimpin Pas patut merujuk juga wasiat Khomeini
dalam majalah Dustur terbitan Lebanon (1 Ogos 1983, edisi 197, hal.
16-18) memberikan wasiat supaya memerangi negara-negara Islam sampai
mereka menjadi negara Syiah.
Kata Khomeini, Ketika perang dengan Iraq telah selesai, maka kita
wajib memulai perang dengan negara lainnya. Saya mengimpikan bendera
kita berkibar di Amman, Riyadh, Damsyik, Kaherah dan Kuwait".
Profesor Yusof al Qardawi sahabat baik Anwar Ibrahim dan tempat
rujukan Haji Hadi Awang yang sekian lama lunak dengan isu Syiah,
akhirnya menyatakan Syiah membawa ajaran yang menyesatkan dan kafir
(Aljazeera-9.3.2013) selepas menyaksikan pembunuhan ratusan ribu umat
Islam di Syria.
Wasiat Khomeini dan penegasan Qardawi amat penting diteliti oleh
golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada dalam Pas dan parti-parti
politik dan NGO Islam yang lain, kerana apa yang sedang berlaku di Iraq,
Syria dan Bahrain adalah gambaran apa yang diwasiatkan oleh Khomeini
dan dibimbangi oleh Qardawi. Apakah mengagumi Khomeini mengagumi wasiat
dan ajarannya?
Banyak kitab Syiah sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Antaranya termasuk kitab-kitab Khomeini, Kasyful Asrar, Al Hukumah al
Islamiah dan Tahrir al Wasilah yang menjadi rujukan utama penganut Syiah
di Malaysia. Apakah kitab Khomeini ini selari dengan ajaran Ahli Sunnah
Wal Jamaah?
Tidak mustahil Indonesia yang semakin subur pengaruh Syiahnya dengan
penerbitan al Mizan, Bandung sebagai penerbit utamanya dan Malaysia
yang mempunyai penganut Syiah dikatakan suku juta orang bakal jadi
ancaman kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan keselamatan negara di
rantau ini.
Menurut kaca mata Ahli Sunnah Wal Jamaah, ajaran Syiah didapati
bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Pengikut
Syiah mempercayai jawatan Imam telah ditentukan Allah melalui lisan
Rasulnya secara nas. Ini dijelaskan dalam kitab Aqaid al-Imamah oleh
Syeikh Muhammad Redha al Muzaffar (hal.78).
Syiah juga mempercayai bahawa orang yang dilantik menunaikan wasiat
Rasulullah SAW adalah Saidina Ali. Usul ini disebutkan dalam kitab Aslu
Al-Syiah Wa Usluha oleh Muhamad bin Husiain Ali Kasyif al-Ghita
(hal.136).
Imamah dan Khilafah dianggap sebahagian daripada Rukun Islam dan ia
berlaku melalui nas. Perkara ini dinyatakan dalam buku Minhaj Kebenaran
dan Pendedahannya (Fiqh Lima Mazhab Di antara Nas dan Ijtihad) oleh al
Hasan bin Yusuf al-Mutahhar al Hulliyy, terjemahan Dr. Lutfi Ibrahim,
(hal. 145-146).
Banyak lagi buku tentang akidah Syiah ini menyimpang daripada ajaran
Ahli Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam di Malaysia merupakan umat ajaran
Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu berpegang dengan cara Abu Hassan al-Asyari
dan al Matruridi dalam akidah.
Menggunakan pendekatan Mazhab al-Shafie dalam penentuan hukum fikah dan meraikan mazhab muktabar yang lain.
Banyak lagi ajaran Syiah yang menyeleweng dari sudut Ahli Sunnah Wal
Jamaah iaitu menyatakan semua imam adalah maksum, Ilmu Allah
berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia,
kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk
memberi keadilan, taqiyyah (berpura-pura), menyamakan Saidina Ali dengan
Allah SAW (kitab al Usul Min al Kafi oleh al Kulaini, Jilid 1, hal.
197), mengkafirkan para Sahabat (kitab al Anwar al-Numaniah, oleh Syed
Nikmatullah al Musawi, hal. 81).
Perpecahan yang berlaku di Malaysia tidak saja dilatari oleh faham
politik yang berbeza tetapi juga anutan fahaman dan aliran keagamaan
yang tidak sama.
Pertentangan Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh menghasilkan
pertentangan yang tajam. Menjadi kewajipan bagi kerajaan, parti politik
dan NGO Islam yang masih meyakini kebenaran faham Ahli Sunnah Wal Jamaah
tidak memandang ringan akan pengaruh Syiah ini.
Langkah-langkah keselamatan perlu diambil supaya faham yang
bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ditangani dengan tegas
supaya perpecahan yang lebih parah dapat dibendung. -Utusan