Jabatan agama perlu mempunyai bukti yang kukuh untuk melakukan
pendakwaan terhadap pengikut fahaman Syiah, kata Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Ini kerana katanya perkara sedemikian tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Dakwaan hanya boleh dilakukan menerusi pengakuan individu itu sendiri
selain memerlukan saksi bagi menguatkan pendakwaan, katanya dalam
sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah
Syariah, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Jamil Khir meminta semua pihak agar tidak mengukur
tindakan yang diambil oleh jabatan agama terhadap pengikut Syiah hanya
bersandarkan bilangan kes yang diselesaikan.
"Jabatan agama sangat serius mengenai soal akidah ini.
"Di Selangor sahaja, mahkamah syariah menerima sejumlah 251 kes
berkaitan fahaman Syiah bagi tempoh 2010 hingga 2013. Perkara ini
mungkin tidak dihebahkan di media massa menyebabkan ramai yang tidak
tahu mengenainya," katanya.
Beliau juga menegaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan agensi
berkaitan akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan polis
bagi memerangi kegiatan Syiah di negara ini. - BERNAMA