Tolong Fikir Sebelum Update Status Di Facebook..!

BARU-BARU  ini, kita digemparkan dengan berita restoran terkenal di Ipoh iaitu Nasi Vanggey ditutup kerana dikhabarkan tidak mencapai tahap kebersihan yang memuaskan.

‘Kesilapan’ seorang graduan menganggur mengepos status yang mendakwa restoran berkenaan menggunakan najis manusia sebagai pelaris restoran itu memberi impak negatif kepada ramai pihak.

Difahamkan beliau hanya menyalin status Facebook individu lain dan meletakkan pada akaunnya. Biarpun bekas pelajar itu tampil memohon maaf kepada pemilik restoran terbabit dan kes itu dikira selesai, ia tetap tertulis dalam sejarah ‘gempar’ untuk 2013.

Daripada insiden itu, penulis rasa terpanggil untuk mengintai tabiat baru pengguna Internet yang suka mengepos status tanpa berfikir kesan buruknya.

Rata-rata pengguna Facebook ataupun Twitter iaitu remaja yang berusia lingkungan 12 tahun ke atas, harapnya ada akal walaupun ada ketikanya sesetengah akan menjawab: “Akaun Facebook ini aku punya, jadi ikut suka nak tulis apa.”

Gambar makanan
Menghadiri jamuan makan malam atau menyediakan masakan di rumah ataupun apa saja mengenai makanan akan dikongsi di laman sosial.

Mereka merasakan memori itu patut dikongsi bersama rakan lain. Ada juga yang berkongsi resipi. Secara tak langsung buat orang lain turut minat belajar memasak.

Bila Status Peribadi Jadi Tatapan Umum

Bahkan ada yang mencuba resipi baru, kemudian makanan yang dimasak itu lembik, hangit atau tak jadi akan dikongsi di Facebook.

Walaupun begitu, gambar makanan banyak dikongsi di Instagram berbanding laman sosial lain.
Tapi berpada-pada jika nak berkongsi sekalipun. Jangan jam 12 malam anda mengepos gambar makanan. Ini akan membuatkan orang lain rasa lapar. Hurmm!

Kisah peribadi
Kisah peribadi turut dikongsi, bahkan tanpa berselindung menceritakan satu persatu hal yang terjadi. Antara yang popular adalah gaduh dengan kekasih, malas pergi kerja, lambat bangun pagi atau tugasan tak siap.

Apabila rakan lain memberikan komen, ‘laju’ mereka balas. Bukan itu saja, tanpa segan silu mengepos status kurang sopan seperti memarahi individu lain hingga menggunakan perkataan kurang ‘enak’. Contohnya bodoh, bengap, sial dan sebagainya.

Apa saja berkaitan dirinya sama ada luar dan dalam akan dikongsi di Facebook sedangkan apabila jumpa di luar, diam seribu bahasa.

Terlalu kerap mengepos berkaitan diri sendiri pun akan buat orang lain berasa meluat juga. Malah tak perlu lagi untuk bertanya mengenainya kerana segala-galanya boleh tahu menerusi laman maya terbabit.

Diingatkan bahawa tidak semua rakan Facebook itu baik. Sedangkan teman rapat pun boleh bermasam muka, terutama apabila tidak bijak menyimpan rahsia. Apatah lagi di laman sosial, tidak semua orang anda kenal dengan betul. Jadi, jangan sesekali berkongsi cerita peribadi di situ.

Lihat saja apabila bergaduh dengan kekasih. Bermacam-macam bahasa kesat dilontarkan. Masa bercinta bukan ‘main’ lagi mengepos cinta, rindu dan sayang. Tapi apabila bergaduh semuanya melayang.

Bahkan, apabila putus cinta, habis segala kisah sepanjang perhubungan dikongsi di Facebook. Ini akan membuatkan orang tak tahu menjadi tahu. Lalu timbulnya fitnah dan hasad dengki.

Pengetahuan
Dalam era serba canggih ini laman sosial adalah salah satu cara untuk memperbanyakkan ilmu. Bukan hanya semata-mata membaca buku tebal tapi dengan cara mengeksploitasi di laman sosial akan dapat menambahkan pengetahuan.

Berkaitan ilmu kita boleh mendapatkannya di mana saja. Namun harus bijak memilih ilmu itu agar ia berguna kepada diri, agama dan bangsa. Sudah tentu kita tidak mahu menjadi orang terakhir yang tahu berkaitan sesuatu hal. Namun apabila difikirkan semula, sejauh mana pengetahuan yang ada dan semangat untuk berkongsi ilmu.

Dengan adanya akaun laman maya, berita di segenap pelosok dunia mudah untuk diambil tahu. Tak perlu dicari kerana akan dikongsikan rakan lain. Semuanya di hujung jari. Cuma ia terletak kepada diri seseorang itu untuk baca dan ambil tahu. Kemudian boleh mengambil pengajaran mengenai perkara yang diteliti.

Ingatlah bahawa perkara bermanfaat yang dikongsi itu membawa sejuta rahmat terutama jika ia disampaikan kepada orang lain. – Harian Metro