Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
hari ini mempertahankan keputusan majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk
membeli Mercedes-Benz S300L sebagai kereta rasmi beliau, yang
menyebabkan kerajaan negeri menanggung kos RM300,000.
Lim berkata Mercedes itu dibeli selepas
mesyuarat Exco kerajaan negeri mempertimbangkan soal keselamatan
pemimpin-pemimpin negeri.
Katanya kerajaan negeri turut mengambil
kira kereta itu ditawarkan pada harga tersebut dan ia bernilai wang bagi
pembelian jangka panjang.
“Kereta baharu itu lagipun bukan
milik saya. Ia milik kerajaan negeri dan mungkin akan digunakan ketua
menteri akan datang selepas saya,” katanya kepada pemberita semasa
ditemui dalam majlis sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2014 Perbadanan
Kemajuan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata mengikut rekod, penyelenggaraan kereta Mercedes untuk jangka panjang adalah lebih baik daripada Proton.
“Kami tidak akan mempertimbangkan pembelian Mercedes-Benz baharu
sekiranya ia tidak dikecualikan cukai dan tidak diberikan potongan
istimewa. Lagipun, saya sedia menerima kritikan daripada mana-mana
pihak,” katanya.
Beliau berkata anggota majlis mesyuarat
kerajaan negeri pada awalnya mahu menggantikan semua kereta Proton
Perdana yang lama dengan Mercedes daripada Toyota Camry.
“Tetapi kerajaan negeri tidak meneruskan
perancangan awal kerana pembekal kereta yang ditemui tidak dapat
memberikan jaminan akan mengambil balik semua kereta itu sekiranya
pengecualian cukai tidak diluluskan,” katanya.
Beliau berkata kereta Toyota Camry 2.5 yang digunakannya sebelum ini akan diberikan kepada Timbalan Speaker Maktar Shapee.
Berita mengenai Lim menggunakan kereta
Mercedes yang baharu dalam tempoh singkat selepas 15 buah Toyota Camry
dibekalkan kepada kerajaan negeri pada 31 Okt tahun lepas bagi kegunaan
ketua menteri, timbalan-timbalannya dan anggota majlis mesyuarat
kerajaan negeri telah menjadi bualan hangat.
Dilaporkan Lim mula menggunakan
Mercedes-Benz, yang dibeli dengan harga RM298,263.75, pada Isnin. Harga
sebenar Mercedes-Benz S300L dilaporkan RM657,218. – BERNAMA