Malaysia merupakan sebuah negara sekular dan bukan Islam. Oleh itu,
negara ini tidak perlu mematuhi mana-mana titah dikeluarkan pemerintah
negeri atau fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, kata pakar
Perlembagaan.
Sultan Kedah yang kini merupakan Yang Di-Pertuan Agong semalam
memetik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 – mengatakan
sesetengah perkataan termasuk kalimah Allah hanya eksklusif kepada umat
Islam, menimbulkan kebimbangan kepada bukan Islam berhubung hak beragama
seperti dijamin Perjanjian Malaysia 1963.
“Titah dan fatwa tidak boleh digunakan kepada bukan Islam
kerana ia melanggar hak perundangan dan beragama mereka,” kata peguam
Edmund Bon (gambar) kepada The Malaysian Insider, memetik kes pada 2009.
Panel hakim pada ketika itu terdiri daripada Hakim Besar Malaya pada
ketika ini Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, bekas Ketua Hakim Negara
Tun Zaki Azmi dan Tun Abdul Hamid Mohamad yang membuat penghakiman
terakhirnya. Antaranya, fatwa hanya terpakai kepada penganut agama
Islam.
Pengasas Lawyers for Liberty Eric Paulsen juga mengatakan
tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh penguatkuasa agama terhadap
bukan Islam.
“Apa-apa titah dikeluarkan, sama ada daripada Sultan atau
Yang di-Pertuan Agong, tidak terpakai kepada bukan Islam,” kata Paulsen.
“Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan perintah, ia tidak
memberi kesan kepada bukan Islam.”
Beliau mengatakan terdapat beberapa kes mahkamah dengan jelas menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara sekular.
“Islam bukanlah faktor utama yang boleh menafikan hak asasi rakyat
Malaysia seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan,” kata Paulsen.
“Rakyat Malaysia dijamin kebebasan bersuara, berekspresi dan beragama. Semua ini jelas ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Beliau memberikan komen selepas Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
mengatakan sensitiviti agama dan status Islam sebagai agama rasmi negara
harus dihormati.
“Titah Agong merupakan nasihat. Bagaimanapun, ia tidak membantu
kerana apa yang diperlukan untuk menyelesaikan isu ‘Allah’ adalah
perundingan di antara pihak berkepentingan,” kata Paulsen.
Beliau juga mengatakan, Raja-raja Melayu, Barisan Nasional, Pakatan
Rakyat dan pemimpin Kristian harus duduk bersama bagi menyelesaikan isu
ini secara aman.
Semua pihak berkepentingan harus membuang prejudis dan berbincang untuk menyelesaikan isu ini, kata peguam tersebut.
Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari juga berkata Majlis Fatwa
Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang dalam perkara berkaitan
Islam kerana perkara itu merupakan urusan kerajaan negeri.
“Perkara berkaitan agama Islam urusan negeri-negeri, dan Majlis Fatwa
Kebangsaan tidak mempunyai status di sisi Perlembagaan,” katanya dalam
satu kenyataan semalam.
“Pembahagian kuasa persekutuan-negeri yang meletakkan Islam di tangan negeri-negeri dikekalkan oleh Perlembagaan Persekutuan.”
Sehubungan itu, beliau menegaskan, apa sahaja pandangan Majlis Fatwa
Kebangsaan tentang serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap
Pertubuhan Bible Malaysia pada 2 Januari tidak memberi kesan, sama ada
kepada umat Islam atau bukan Islam.
Kenyataan Sultan semalam dibacakan ketika berlaku ketegangan di
antara umat Islam dan penganut Kristian berhubung penggunaan kalimah
Alla oleh penganut Kristian yang menggunakan bahasa Melayu di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri menegaskan pada
hujung minggu lalu, Putrajaya tetap memberikan komitmen terhada
penyelesaian 10 perkara ditandatangani dengan Sabah dan Sarawak yang
membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible
bahasa Melayu.
Penyelesaian 10-perkara itu diumumkan pada April 2011 untuk
menyelesaian isu berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible
berbahasa Melayu oleh majoriti penganut Kristian di Malaysia Timur.
Dalam perjanjian tersebut yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mengatakan Bible dalam semua
bahasa boleh dicetak atau diimport masuk ke dalam negara – The Malaysian
Insider.