DUA GENG SG PETANI LANGSAI "DENDAM LAMA"..!

Sungai Petani: Akibat dendam lama, seorang lelaki maut, manakala empat yang lain cedera termasuk seorang daripadanya parah dalam pergaduhan dipercayai membabitkan dua geng kongsi gelap, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12.05 tengah malam, mangsa, S Sivakumar, 35, dari Sungai Tukang, dekat Sungai Lalang, di sini, maut akibat parah ditikam menggunakan senjata tajam pada bahagian kiri perut dan dada kanannya dalam pergaduhan itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah hospital swasta, di sini, manakala adiknya, S Nadarajan, 30 dan seorang lagi rakan dikenali Rajendran berusia 20-an dilaporkan cedera, selepas masing-masing turut dibelasah kumpulan lelaki terbabit ketika cuba meleraikan pergaduhan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk bedah siasat, manakala mangsa yang lain turut dihantar hospital berkenaan untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian, semua mangsa bersama anggota keluarga masing-masing sedang menyaksikan upacara perarakan keagamaan sempena sambutan Thaipusam berhampiran sebuah hotel di Jalan Pasar, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Ong Aik Chang berkata, ketiga-tiga mangsa dikatakan diserang sekumpulan lelaki secara tiba-tiba menggunakan senjata tajam, selain topi keledar, kuku besi dan pelbagai objek lain sebelum Sivakumar ditikam.

Berdasarkan maklumat, beliau berkata, pihaknya percaya insiden berkenaan membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap yang disyaki berpunca daripada dendam lama.

“Kami sudah menahan enam lelaki berusia antara 25 dan 35 tahun berhampiran lokasi kejadian yang disyaki terbabit dalam pergaduhan berkenaan. Bagaimanapun, polis masih mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian terbabit.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

“Polis juga memburu saki baki mereka yang terbabit kerana maklumat diterima mengesahkan lebih 10 orang terbabit dalam pergaduhan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, di sini semalam.

Sementara itu, Ong berkata, selain pergaduhan berhampiran hotel terbabit, satu lagi pergaduhan susulan dikesan berlaku tidak jauh dari situ kira-kira 20 minit selepas kejadian pertama dileraikan.

“Pergaduhan antara geng kongsi gelap sering berlaku ketika perayaan Thaipusam setiap tahun dan kejadian malam semalam (kelmarin) bukanlah yang pertama. Ini kerana ketika ini ahli geng pulang ke kampung untuk bercuti dan kesempatan ini digunakan mereka untuk bergaduh terutama bagi membalas dendam,” katanya.