Gadis terpaksa mencuri demi puaskan nafsu ayah

“Ayah yang suruh kami curi, duit itu kami bagi pada ayah,” kata seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun setelah disoal oleh Ahli Rukun Tetangga Pekan Baling A di sebuah taman di sini.

Kanak-kanak itu ditemui bersama adiknya yang berusia lapan tahun dan sepupunya baru berusia sembilan tahun ketika sedang berkeliaran di kawasan taman terbabit pada waktu awal pagi.

Sebelum ini, mereka pernah ditahan rukun tetangga kerana mencuri jam tangan seorang jemaah surau di taman itu.

Mereka terbabit mengakui mula mencuri sejak beberapa tahun lalu setelah disuruh ayah yang dikatakan terlibat dalam kegiatan penagihan dadah.(gambar hiasan).

Kanak-kanak terbabit berkata, semua barangan curi diberikan kepada ayah mereka termasuk wang ringgit.

Menurutnya, mereka turut mengakui memasuki banyak premis perniagaan di daerah ini untuk mencuri.

“Kalau tak ada duit, kami curi bedak, telur dan macam-macam lagi,” katanya.

Katanya, memang menjadi rutin harian mereka keluar pada awal pagi dan ibu ayah mereka tidak pernah melarang malah langsung tidak risau mengenai mereka.

Manakala, kakak mereka pula kini berada di sekolah pemulihan di Melaka kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Lebih menyedihkan, ketiga-tiga mereka mengaku merokok sejak beberapa tahun lalu dan menjadikan rumah rakan-rakan mereka sebagai tempat melepaskan ketagihan merokok.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Pekan Baling A, Ahmad Tajuddin Abdullah berkata, ini bukan kali pertama kanak-kanak ini dijumpai berkeliaran di kawasan ini.

“Banyak kali mereka berkeliaran, kami ada rekod mereka, memang sedih sebab mereka seperti terbiar.

“Pernah mereka ditahan dalam keadaan lapar jadi kami bagi mereka makan, memang tak sampai hati tengok. Tambahan pula usia mereka masih lagi kecil,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kanak-kanak ini dibiarkan ia hanya akan menghancurkan masa hadapan mereka.

“Sebab itu kami harap pihak berkuasa dapat campur tangan selamatkan mereka. Kami hanya boleh bagi nasihat tetapi esok lusa mereka masih ada lagi di kawasan ini,” katanya.-UtaraNews