GAJAH NAIK MINYAK DI BALING..!


BALING - Sebanyak 40 keluarga di Kampung Kaki Bukit, Bongor di sini hidup dalam ketakutan apabila dua ekor gajah liar didakwa kerap menyerang kampung itu terutama pada waktu malam sejak seminggu lalu.

Haiwan dipercayai dua beranak itu sering berada berdekatan tiga buah rumah penduduk dan bertindak memusnahkan pelbagai tanaman termasuk berpuluh-puluh pokok pisang.

Kemunculan gajah itu juga menakutkan 15 penduduk untuk keluar menoreh getah kerana bimbang terserempak dengan haiwan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kaki Bukit, Ahmad Tajuddin Umat, 40, berkata, kes sedemikian perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan.


"Sebelum berlaku perkara tidak diingini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Baling perlu bertindak segera," katanya.

Menurutnya, pendapatan penduduk di kawasan itu dikhuatiri terjejas apabila tidak dapat menoreh memandangkan harga getah mencecah lebih RM3 sekilogram ketika ini.

"Penduduk bimbang jika perkara ini dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Seorang penduduk, Fakrulrazi Ahmad, 53, berkata, gajah yang masuk ke kampung itu adalah dari hutan berdekatan.

"Kami minta pihak berkenaan, terutama Perhilitan ambil tindakan segera menghalau gajah supaya masuk ke hutan semula," katanya.

Menurutnya, jika dibiarkan, gajah itu boleh merosakkan tanaman padi organik seluas hampir 10 hektar yang diusahakan oleh penduduk dan kini sudah mula mengeluarkan hasil.

"Pada masa ini, gajah itu mula mencari makanan hanya kira-kira 100 meter sahaja dari rumah penduduk," katanya. -Utusan