Bekas Timbalan Ketua Menteri I kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr
Mansor Othman menyifatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya
dipersalahkan jika benar berlaku ketegangan hal ehwal pentadbiran Islam
di negeri itu.
Ini kerana kerajaan negeri Pulau Pinang ditadbir oleh Setiausaha Agung DAP, Guan Eng sendiri sejak dari tahun 2008.
“Saya tidak tahu dan belum dengar apa yang dikatakan Lim Guan Eng
tapi kalau betul laporan itu, ia bukan antara PKR dengan PAS dan ia
tidak patut keluar dari mulut beliau.
“Ia bukan pasal PKR atau PAS…tampuk pemerintahan ialah DAP, ia bukan PKR atau PAS,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
Mansor diminta mengulas dakwaan Guan Eng yang mendakwa urusan
pentadbiran hal ehwal Islam negeri itu bukan masalah DAP tetapi berpunca
daripada pertelingkahan antara PKR dan PAS.
“Apabila kamu bercakap soal hal ehwal agama, kamu perlu selesaikan dalam komuniti Islam…ia antara PAS dan PKR.
“PAS ‘tidak senang’ dengan PKR, saya telah katakan sebelum ini dan
akan terus mengatakannya tetapi ia tidak pernah diberi tumpuan,” kata
Guan Eng sebagai respons balas terhadap ancaman PAS negeri untuk
melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri sekiranya parti tertentu
dalam kerajaan terus campur tangan dalam urusan hal ehwal Islam.
Guan Eng ketika mengumumkan barisan exco kerajaan negeri 2013 yang disifatkannya sebagai ‘Memperkayakan Rakyat Tanpa Kira Kaum, Agama & Latar Belakang Politik,’
telah melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, YB Dato Abdul
Malik Abul Kassim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam,
Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, sedangkan wakil
tunggal PAS, ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man hanya dilantik
sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Jawatan Timbalan Ketua Menteri I yang sebelum ini disandang oleh
Mansor diganti oleh ADUN PKR Pantai Jerejak, Y.B Dato’ Mohd Rashid
Hasnon.
Mengulas lanjut perkara itu, Mansor yang juga Pengerusi PKR Pulau
Pinang dan Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata pemimpin komponen Pakatan
tidak seharusnya menyalahkan satu sama lain.
“Saya rasa Lim Guan Eng tak sepatutnya kata sebegitu sebab ia bukan antara PKR dengan PAS sebenarnya,” katanya.
Dengan mengambil kira mandat kali kedua di Pulau Pinang, Naib
Presiden PKR ini berkata Guan Eng selaku ketua menteri patut lebih
berhati-hati semasa menyatakan sesuatu terutamanya perkara yang boleh
mengundang kontroversi.
Jelas beliau, Pakatan perlu mentadbir Pulau Pinang dengan lebih baik
agar ia tidak kembali ke bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Tambahnya, analisa PRU13 menunjukkan BN bertambah sokongan pengundi muda yang perlu diberikan tumpuan Pakatan.
“Kalau kita analisa data betul-betul, kita lihat trend sokongan pada
Pakatan Rakyat di Pulau Pinang masih seimbang walaupun ada penambahan
pengundi muda pada BN.
“Kita ada peningkatan (pengundi muda) cuma penambahan yang lebih pada BN,” katanya. - aidc